am@hmetro.com.my
Kuching: Polis membuka kertas siasatan berhubung video tular memaparkan seorang lelaki mengasari seorang wanita dalam kejadian di Metrocity, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 4 Julai lalu sebelum siasatan lanjut dijalankan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 8 malam 3 Julai lalu, di ruangan legar sebuah bilik sewa di Metrocity.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Katanya, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan siasatan polis.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching atau pegawai penyiasat kes, Sarjan Mancha di talian 019-595 8260 bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




