Kuala Lumpur: Di pintu masuk Poliklinik Khafidz di Kajang, pusat rawatan ketagihan yang beroperasi sejak 2001, ada dua anak panah dilukis menggunakan pita di atas lantai jubin.
Sebelah kanan menunjuk arah ke pintu kayu bercorak, sementara satu lagi ke pintu biasa.
Bagi Muhammad, 31, dia memasuki pintu bercorak. Begitu juga ratusan pesakit ketagihan lain yang melakukan perkara sama setiap hari demi mendapatkan metadon, opiat sintetik yang membantu penagih heroin mengawal ketagihan sehingga mampu meninggalkannya terus.
Muhammad memberitahu, dia mengambil heroin sejak usia 15 tahun, memandangkan ibu bapanya juga penagih. Banyak kali dia cuba meninggalkan najis dadah tetapi gagal.
Akhirnya, dia mengunjungi klinik ini selepas dirujuk rakannya, juga bekas penagih yang kini berkhidmat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Dia beritahu, kalau nak berhenti betul-betul, kena ada doktor mengawasi (dengan kaunseling) semua tu,” katanya menambah, sudah setahun dia tidak mengambil dadah dan berharap bebas selama-lamanya.
Kisah Muhammad ini dianggap kejayaan kerana meskipun dia pengguna dadah intravena (IV) lebih sedekad, dia tidak pernah diuji positif HIV, di sebalik hakikat sekitar 30 peratus penagih menggunakan jarum diuji positif HIV pada 2008, menurut laporan Kementerian Kesihatan.
Dalam hal ini, Muhammad contoh yang menunjukkan matlamat pendekatan HIV/Aids Malaysia iaitu pengurangan kemudaratan berbanding sifar toleransi ada impaknya.
Dengan kejayaan itu, pakar meneruskan langkah dekriminalisasi dadah (bukan pesalah jenayah terhadap penagih dadah).
Pada 2023, kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori untuk kesalahan dadah.
Pada 26 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Kabinet meluluskan pindaan ke atas Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Anggota Pasukan Petugas Dekriminalisasi Dadah di bawah naungan Kementerian Kesihatan mengalu-alukan langkah ke arah dekriminalisasi dadah, tetapi menambah ada beberapa isu perlu kerajaan tangani bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya. Dalam hal ini, mereka belum diminta memberi pandangan.
Malaysia membuat komitmen terhadap dekriminalisasi dadah tahun lalu (2023), dengan mengiktiraf bahawa perang ke atas dadah dengan pendekatan sifar toleransi gagal kerana bilangan tangkapan dadah masih tinggi tanpa menunjukkan pengurangan kes pengedaran dadah.
“Pengurangan kemudaratan berjaya tetapi bebas dadah sepenuhnya gagal,” kata Dr Mohd Khafidz Mohd Ishak, pengamal perubatan ketagihan dan anggota Pasukan Petugas Dekriminalisasi Dadah di bawah Kementerian Kesihatan.
“Apa yang kami lakukan (seperti) mengawal pengambilan aiskrim dalam sehari. Contoh, anak anda nak aiskrim. Dia nak lima kali sehari, tetapi anda tidak boleh halang daripada tidak makan langsung. Lima kali tak bagus untuk kesihatan. Jadi anda kawal dia boleh makan satu aiskrim sehari sahaja,” katanya.
Pakar ketagihan dengan pantas menekankan dekriminalisasi bukan bermakna membenarkan dadah dijual dan orang boleh mengambil semua jenis dadah.
Sebaliknya, penjualan serta pengedaran dadah terlarang masih melanggar undang-undang sebaliknya dekriminalisasi dadah, cuma orang tidak ditahan kerana memiliki dadah yang sedikit, hanya cukup untuk kegunaan peribadi. Ini bermakna, penagih boleh membawa dadah secukupnya untuk melepaskan gian dan membantu mereka berfungsi.
Individu yang mahu bereksperimen dengan dadah atau mengambil dadah untuk rekreasi juga tidak ditahan sebagai penjenayah.
Pada masa ini, undang-undang Malaysia bagi pemilikan dadah terlarang antara paling tegas di dunia, boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup untuk jumlah kecil, dengan pakar ketagihan pernah menyatakan jumlah tersebut cukup untuk bekalan seminggu.
Pendekatan pengurangan kemudaratan juga bermakna menukar pendekatan dalam mengendalikan pengguna dan penagih.
Pada perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan, Saifuddin memberitahu pemberita, pindaan ke atas Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 membabitkan 29 fasal.
Satu daripadanya ialah bagaimana penagih disantuni atau dilayani, sebagai individu sakit dan bukan penjenayah.
“Jika pindaan ini diluluskan ia memudahkan usaha Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk memulihkan golongan penagih tanpa perlu menempuh banyak kerenah birokrasi dan lebih efektif,” katanya.
Kerajaan dijangka membentangkan pindaan tersebut sebelum penghujung sesi Parlimen yang berlangsung.
Pakar ketagihan memberitahu, memberi tumpuan kepada pengurangan kemudaratan dan dekriminalisasi dadah menggalakkan lebih ramai orang tampil mendapatkan bantuan, kerana mereka mungkin tidak ditahan.
Pakar Sakit Jiwa Ketagihan Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Fadzli Mohamad Isa berkata, dekriminalisasi membuka peluang penagih mendapatkan rawatan.
“Pada pandangan saya, jika ini berlaku, lebih ramai penagih mahu mendapatkan rawatan seawal mungkin. Bukan menunggu sehingga jadi penagih tegar, bukan hanya selepas mendapat komplikasi psikologi seperti psikosis, kecelaruan mood, jadi itu sebab dan peranan dekriminalisasi,” katanya.
Pakar juga menyatakan, ketagihan dadah adalah isu rumit, dan dasar mendiskriminalisasi dadah perlu mengambil kira semuanya.
Ramai setuju menyantuni penagih sebagai pesakit bukan penjenayah, sebagai langkah positif.
Dr Khafidz, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) berkata, dekriminalisasi memerlukan pegawai polis merujuk penagih kepada AADK dan pusat rawatan, dan bukan menghantar mereka ke penjara.
“Perlu ada hubungan antara doktor dan pegawai penguat kuasa. Jika pegawai penguat kuasa menahan mereka daripada mendapatkan rawatan, bagaimana doktor boleh melakukan tugas?” katanya, menambah, pegawai polis pernah datang ke klinik untuk menahan pesakitnya.
Pengarah Program Dasar Dadah di Yayasan Aids Malaysia Palani Narayanan berkata, beliau bimbang bagaimana dasar menggolongkan pengguna dadah, sambil menyatakan bukan semua pengguna penagih yang perlu rawatan.
“Mereka yang bereksperimen atau menggunakan dadah rekreasi tidak perlu ke pusat pemulihan. Mereka mungkin memerlukan kaunseling, bimbingan. Masukkan mereka ke pusat pemulihan tidak mencapai hasil,” katanya.
Beliau juga bimbang sama ada pindaan itu memberi lebih banyak kuasa kepada pegawai AADK dan bukan doktor yang menentukan siapa memerlukan pemulihan serta rawatan.
Dr Mohd Fadzli berpandangan, perlu ada lebih banyak pilihan rawatan.
“Tetapi ada kalanya orang tersalah masuk pintu. Saya katakan pintu salah kerana kadang kala mereka bukan bergantung teruk dengan dadah, tetapi hanya perlu menjalani program disusun khas untuk penagih tegar,” katanya.
Beliau menambah, orang ramai perlu tahu di mana mereka boleh mendapatkan bantuan, sama ada di hospital, klinik swasta atau NGO.
Piawaian emas untuk pengurangan kemudaratan adalah Portugal, yang melaksanakan diskriminalisasi dadah pada 2001.
Negara kecil Eropah ini menggantikan dasar yang memfokus kepada hukuman dengan dasar membolehkan orang memiliki dadah termasuk heroin, kokain dan ganja dalam jumlah yang cukup untuk kegunaan 10 hari.
Meskipun penggunaan dadah diharamkan, mereka yang menyalahguna, diberi pemetikan dan rujukan untuk pusat rawatan. Bagaimanapun, kehadiran secara sukarela.
Setakat ini, bilangannya menggalakkan. Populasi penjara menurun serta kes dos berlebihan, seperti Malaysia, bilangan kes HIV dalam kalangan pengambil dadah yang menggunakan picagari juga menurun.
Penggunaan dadah kekal pada paras sama dan tidak bertambah seperti dibimbangi.
Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, keadaan di Portugal menunjukkan perubahan.
Ada pembuat dasar menyoal sama ada mereka perlu meneruskan dasar berkenaan memandangkan kadar dos berlebihan meningkat berbanding sedekad lalu, juga jenayah hartanah didakwa membabitkan penagih.
Penyokong dekriminalisasi menyalahkan kekurangan dana sebagai punca.
Di samping dana, pakar berkata, data baik juga penting. Pada masa ini, hanya Malaysia mempunyai data orang ditahan atas tuduhan berkaitan dadah dan mereka dihantar ke pusat pemulihan.
Tidak ada data mengenai bilangan pengguna dadah atau tahap penggunaan dadah di Malaysia.
Menurut Dr Khafidz, apa pun bilangan yang Malaysia ada untuk pengguna dadah, ia mungkin kurang daripada jumlah sebenar iaitu mungkin jutaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




