asyikin.mat@hmetro.com.my
Masih ramai wanita hamil takut untuk kekal aktif kerana bimbang aktiviti fizikal boleh menjejaskan kandungan.
Hakikatnya, ini tanggapan yang kurang tepat dan disebabkan kebimbangan itu, mereka tidak memilih untuk bersenam sepanjang tempoh kehamilan.
Pakar Klinikal Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Farnaz Keshavarzi Mohd Azmi yang mempunyai kelayakan dalam bidang kecergasan antenatal (sebelum bersalin) dan postnatal (selepas bersalin), bertekad untuk mengubah minda wanita hamil supaya bersenam semasa hamil.
Mengikut nasihat perubatan terkini, lakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti aerobik berintensiti sederhana setiap minggu.
Tempoh ini boleh dibahagikan kepada sesi 30 minit selama lima hari atau kepada sesi lebih kecil iaitu 10 minit sepanjang hari.
Dr Farnaz Keshavarzi berkata, wanita hamil disaran menjalani gaya hidup aktif kerana ia boleh mengurangkan risiko kenaikan berat mendadak, diabetes gestasi (diabetes ketika hamil), tekanan darah tinggi dan penyakit pre-eclampsia.
Menurutnya, kajian menunjukkan senaman ketika hamil bukan saja selamat, malah mampu mengurangkan risiko komplikasi kehamilan, selain membantu melancarkan proses kelahiran.
“Selain itu, tahap kecergasan rendah boleh menyukarkan proses pemulihan selepas bersalin.
“Bagi kebanyakan wanita yang menjalani kehamilan normal, aktiviti fizikal sesuai bukan sahaja selamat, malah sangat digalakkan,” katanya.
Katanya,bagi wanita yang mengalami komplikasi kehamilan atau mempunyai masalah kesihatan tertentu, mereka disaran mendapatkan nasihat doktor sebelum memulakan senaman.
“Aktiviti fizikal sesuai bantu tingkatkan kesihatan ibu dan bayi. Ia bahkan meningkatkan aliran darah plasenta untuk membekalkan oksigen serta nutrien.
“Ia sekali gus merangsang perkembangan otak, kemahiran motor dan kesihatan kardiometabolik bayi.
“Ia juga mengurangkan risiko diabetes gestasi, tekanan darah tinggi, sakit belakang, pertambahan berat badan berlebihan dan kemurungan,” katanya.
Beliau berkata, apabila kandungan cukup bulan dan tiba masa bersalin, senaman dapat bantu proses bersalin dengan memastikan kepala serta badan bayi masuk ke ruang tulang pelvis.
“Ia juga mengurangkan risiko kelahiran berbantu alat (‘instrumental delivery’) seperti ‘vacuum assisted delivery’ dan forceps, pembedahan caesarean serta meningkatkan kebarangkalian berjaya bersalin secara kelahiran ‘vaginal delivery’.
“Selepas bersalin pula, aktiviti fizikal membantu mempercepatkan pemulihan, meningkatkan tenaga dan menyokong kesihatan mental ibu.
“Antara aktiviti selamat dilakukan wanita hamil ialah program senaman antenatal termasuk senaman kekuatan menggunakan berat, yoga pranatal dan senaman mobiliti pelvik, berjalan kaki, senaman impak rendah seperti berenang serta berbasikal statik,” katanya.
Menurut beliau, namun, jenis dan intensiti senaman perlu disesuaikan dengan tahap kecergasan serta keadaan kehamilan setiap individu.
“Oleh itu, ibu hamil dinasihatkan mendapatkan konsultasi dengan doktor obstetrik dan ginekologi sebelum memulakan atau meneruskan rutin senaman.
“Ini bagi memastikan aktiviti dilakukan selamat untuk ibu dan kandungan,” katanya.
Katanya lagi, secara amnya, ibu boleh mula bergerak dan melakukan aktiviti ringan seperti berjalan seawal beberapa jam selepas bersalin jika keadaan kesihatan mengizinkan.
“Senaman lebih berstruktur boleh dimulakan secara berperingkat mengikut tahap pemulihan ibu,” katanya.
Menyentuh jenis aktiviti sesuai dilakukan wanita selepas bersalin, Dr Farnaz Keshavarzi berkata, ibu digalakkan memulakan aktiviti fizikal secara berperingkat mengikut tahap pemulihan masing-masing.
“Antara aktiviti sesuai termasuk berjalan, senaman lantai pelvik, latihan pernafasan dan pengaktifan otot teras, senaman kekuatan ringan serta aktiviti aerobik berimpak rendah.
“Intensiti boleh ditingkatkan secara beransur-ansur apabila badan semakin pulih dan bertambah kuat.
“Perkara yang penting ialah mendengar isyarat badan dan mendapatkan nasihat doktor jika ada komplikasi,” katanya
Jelasnya, kehamilan bukan alasan untuk berhenti bergerak.
“Sebaliknya, aktiviti fizikal yang selamat dan sesuai antara cara terbaik membantu ibu menjalani kehamilan lebih sihat, melalui proses kelahiran lebih lancar serta pemulihan lebih baik selepas bersalin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




