Buenos Aires: Bola sepak Argentina berkabung selepas legenda Boca Juniors dan bekas kapten skuad kebangsaan, Antonio Rattin meninggal dunia pada usia 89 tahun.
Pemergian bekas pemain tengah itu disahkan Boca Juniors menerusi satu kenyataan yang menyifatkannya sebagai ikon dan simbol kelab.
“Dengan penuh rasa dukacita, kami meratapi pemergian Antonio Ubaldo Rattin, seorang legenda dan simbol institusi kami. Salam takziah kepada keluarga serta insan tersayang. Selamat tinggal, Rata,” menurut kenyataan kelab itu.
Digelar ‘Rata’ (Tikus), Rattin menghabiskan keseluruhan karier kelabnya bersama Boca Juniors dari 1956 hingga 1970 dengan membuat 382 penampilan, menjaringkan 28 gol serta membantu kelab itu memenangi empat gelaran liga.
Beliau turut memainkan peranan penting membawa Boca ke final Copa Libertadores 1963.
Di pentas antarabangsa, Rattin mewakili Argentina dari 1959 hingga 1969 dengan beraksi pada Piala Dunia 1962 di Chile dan Piala Dunia 1966 di England.
Nama Rattin kekal terpahat dalam sejarah bola sepak dunia susulan insiden kontroversi ketika suku akhir Piala Dunia 1966 menentang England di Stadium Wembley.
Ketika Argentina tewas 0-1, Rattin dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Jerman, Rudolf Kreitlein, namun enggan meninggalkan padang serta-merta kerana mendakwa tidak memahami arahan pengadil yang tidak bertutur dalam bahasa Sepanyol.
Dalam tindakan yang menjadi antara protes paling terkenal dalam sejarah Piala Dunia, Rattin memulas bendera penjuru England sebelum duduk selama beberapa minit di atas permaidani merah yang dikhaskan untuk Ratu Elizabeth II.
Insiden itu membuka mata FIFA terhadap masalah komunikasi antara pengadil dan pemain daripada negara berbeza, sekali gus membawa kepada pengenalan sistem kad kuning dan kad merah pada Piala Dunia 1970.
“Saya hanya pernah memakai dua jersi sepanjang hidup saya, Boca dan Argentina,” kata Rattin dalam satu daripada wawancara terakhirnya.
Selepas bersara sebagai pemain, beliau sempat melatih Boca Juniors pada 1980 sebelum menceburi bidang politik sebagai anggota Dewan Perwakilan Argentina.
© New Straits Times Press (M) Bhd




