GENEVA – Penularan hantavirus yang dikaitkan dengan beberapa kematian di sebuah kapal persiaran baru-baru ini, kembali mencetuskan kebimbangan global terhadap ancaman penyakit berjangkit yang jarang berlaku tetapi berbahaya.Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hantavirus merupakan virus yang dibawa oleh tikus dan boleh menjangkiti manusia melalui pendedahan kepada air kencing, najis atau air liur haiwan tersebut, termasuk melalui sedutan habuk tercemar di udara.Pengendali kapal dari Belanda, Oceanwide Expeditions, sebelum ini mengesahkan wujud ‘situasi perubatan serius’ di atas kapal MV Hondius yang dalam pelayaran dari Argentina ke Cape Verde.Tiada penawarPakar kesihatan menjelaskan, hantavirus boleh menyebabkan komplikasi serius melibatkan sistem pernafasan dan jantung, selain demam berdarah yang menjejaskan buah pinggang dan saluran darah.Lebih membimbangkan, sehingga kini tiada vaksin atau rawatan khusus untuk penyakit tersebut, dan rawatan yang diberikan hanya bertujuan mengurangkan simptom serta menyokong fungsi organ pesakit.Virus ini dinamakan sempena Sungai Hantan di Korea Selatan, lokasi di mana ribuan tentera dilaporkan dijangkiti semasa Perang Korea.Dalam kebanyakan kes, setiap jenis hantavirus dikaitkan dengan spesies tikus tertentu yang menjadi perumah semula jadi tanpa menunjukkan tanda penyakit, sekali gus menyukarkan pengesanan awal.WHO memaklumkan hanya segelintir strain hantavirus diketahui menjangkiti manusia, dengan satu daripadanya dikenali sebagai Andes virus yang terdapat di Amerika Selatan.Strain ini juga satu-satunya yang pernah menunjukkan penularan terhad antara manusia, khususnya dalam kalangan individu yang mempunyai kontak rapat dan berpanjangan.Ketua kesiapsiagaan epidemik WHO, Maria Van Kerkhove berkata, risiko keseluruhan kepada orang awam masih rendah berdasarkan data wabak terdahulu.Bagaimanapun, beliau menegaskan siasatan epidemiologi, pengesanan kontak serta ujian makmal perlu diteruskan bagi mengenal pasti punca jangkitan dan mencegah penularan lanjut.Dari segi gejala, pesakit biasanya mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, sakit perut, loya dan muntah pada peringkat awal.Namun dalam kes lebih serius, jangkitan boleh berkembang dengan pantas kepada masalah pernafasan, pengumpulan cecair dalam paru-paru, tekanan darah rendah dan kegagalan organ.Tempoh inkubasi pula dianggarkan antara satu hingga enam minggu, menjadikan diagnosis awal sukar kerana simptomnya menyerupai penyakit lain seperti Covid-19.Di peringkat global, WHO menganggarkan antara 10,000 hingga lebih 100,000 kes hantavirus dilaporkan setiap tahun, dengan majoriti kes tertumpu di Asia dan Eropah.Kadar kematian berbeza mengikut jenis jangkitan, antara kurang satu peratus hingga 15 peratus di Asia dan Eropah.Namun bagi kes sindrom kardiopulmonari di benua Amerika, kadar kematian boleh mencecah antara 20 hingga 40 peratus, sekali gus menjadikannya antara penyakit berjangkit yang perlu diberi perhatian serius.Sehubungan itu, pakar menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pendedahan kepada tikus dan persekitaran tercemar sebagai langkah pencegahan utama, selain meningkatkan kesedaran terhadap gejala awal bagi mendapatkan rawatan segera.INFO HANTAVIRUS-Virus berasal daripada tikus-Jangkitan kepada manusia berlaku melalui sentuhan dengan air kencing, najis atau air liur tikus yang dijangkiti, selain boleh berlaku melalui gigitan.-WHO menjelaskan diagnosis awal hantavirus agak mencabar kerana simptomnya menyerupai penyakit pernafasan lain seperti Covid-19. – AFP



