Apa kesan sekatan maritim Houthi ke atas Saudi?

Apa kesan sekatan maritim Houthi ke atas Saudi?

Sanaa: Pemberontak Houthi di Yaman mengumumkan ‘sekatan maritim’ ke atas Arab Saudi pada Isnin, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Kumpulan yang disokong Iran itu bagaimanapun tidak menyatakan bagaimana ia merancang untuk mengenakan embargo berkenaan secara khusus.

Pengisytiharan itu dibuat ketika Iran menyatakan bahawa ia kembali kepada “perang berskala penuh” dengan AS, di samping perebutan kawalan selat antara Washington dan Tehran.

Arab Saudi dan Houthi turut berbalas tembakan minggu lalu buat kali pertama dalam beberapa tahun, sekali gus mengancam gencatan senjata 2022 yang bertahan walaupun sudah tamat tempoh.

Pertukaran serangan terkini itu tercetus apabila sebuah pesawat milik Iran dilaporkan cuba mendarat di Sanaa.

Sekatan tentera laut Houthi, sekiranya dikuatkuasakan sepenuhnya, boleh membebankan ekonomi Arab Saudi dengan memutuskan akses ke pelabuhan Laut Merahnya.

Pelabuhan itu sangat penting untuk eksport minyak, terutamanya apabila pertempuran baharu mengehadkan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz.

Sekatan itu juga dijangka memberi kesan mendalam kepada pasaran global yang bergantung kepada Arab Saudi – pengeluar lebih 10 juta tong minyak mentah sehari – untuk import tenaga.

“Pemberontak mengisytiharkan embargo maritim terhadap Saudi, berkuat kuasa serta-merta,” kata jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree.

Menanggapi perkembangan itu, Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memberi amaran bahawa ancaman Houthi berisiko menimbulkan konflik serantau yang “lebih luas”.

Houthi sebelum ini kerap cuba memutuskan perkapalan melalui Laut Merah dengan memanfaatkan Selat Bab al-Mandab, iaitu titik penting di hujung selatan yang mesti dilalui kapal ke Terusan Suez dan Laut Mediterranean.

Pakar keselamatan, Andreas Krieg berkata, Tehran boleh meminta Houthi untuk menyediakan barisan hadapan di Selat Bab al-Mandab dan mencetuskan strategi tertentu jika tekanan AS menjejaskan kedudukan Iran di sekitar Hormuz.

“Krisis serentak di Selat Hormuz dan Selat Bab al-Mandab akan menghasilkan kejutan ekonomi yang jauh lebih besar daripada sekatan sahaja,” kata ahli akademik King’s College London itu kepada AFP.

Menurutnya, gangguan di Hormuz mengekang eksport minyak dan gas asli cecair Teluk, manakala gangguan di Selat Bab al-Mandab merosakkan hubungan maritim utama antara Asia, Teluk dan Eropah.

Saree menambah bahawa penutupan Selat Bab al-Mandab dibuat sebagai tindak balas terhadap sekatan Arab Saudi ke atas pelabuhan dan lapangan terbang Houthi, sambil menegaskan mereka akan bertindak balas terhadap “sekatan dengan sekatan”.

Krisis ini berakar daripada konflik panjang sejak 2014 antara Houthi dan kerajaan Yaman, dalam perang berterusan yang mengorbankan ratusan ribu nyawa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top