Ceroboh landasan punca tren tergendala 30 minit

Ceroboh landasan punca tren tergendala 30 minit

zatuliffah@hmetro.com.my

Klang: Perkhidmatan Laluan Shah Alam Rapid KL mengalami gangguan sementara selama 30 minit pagi tadi selepas seorang lelaki menceroboh kawasan landasan di Stesen Jalan Meru, di sini.

Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu dikesan kira-kira jam 6.15 pagi sebelum petugas operasi bersama anggota Polis Bantuan bertindak pantas mengesan dan menahan suspek.

Menurutnya, suspek kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibawa ke Balai Polis Bandar Baru Klang untuk tindakan lanjut.

“Rapid KL akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Bagi memastikan keselamatan penumpang dan operasi perkhidmatan sentiasa terpelihara, perkhidmatan tren dihentikan sementara di antara Stesen Jalan Meru ke Stesen Jambatan Kota selama 30 minit,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penghentian sementara itu bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan serta memastikan keadaan landasan selamat sebelum perkhidmatan beroperasi semula.

Rapid KL berkata, keselamatan penumpang dan operasi perkhidmatan sentiasa menjadi keutamaan syarikat itu dan memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang berikutan gangguan sementara itu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menceroboh kawasan landasan kerana tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengundang risiko keselamatan yang serius.

“Penumpang juga disaran supaya sentiasa peka terhadap persekitaran dan segera memaklumkan kepada petugas stesen atau anggota Polis Bantuan sekiranya mengesan sebarang perlakuan yang mencurigakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top