Apa sudah jadi dengan Lembaga Keamanan Gaza Trump?

Apa sudah jadi dengan Lembaga Keamanan Gaza Trump?

WASHINGTON – Inisiatif dikenali sebagai ‘Lembaga Keamanan Gaza’ yang dikaitkan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilaporkan berdepan krisis besar selepas dana rasmi bagi pembinaan semula Gaza gagal menerima sebarang sumbangan daripada penderma, meskipun terdapat komitmen berjumlah AS$17 bilion (RM65.7 bilion).

Menurut laporan Financial Times, dana yang diuruskan oleh Bank Dunia itu masih belum menerima sebarang deposit daripada mana-mana penderma sejak ditubuhkan empat bulan lalu, dengan sumber menyatakan ‘tiada satu dolar pun telah dimasukkan’.

Kegagalan tersebut berlaku walaupun negara anggota sebelum ini menjanjikan sekitar AS$7 bilion (RM27.7 bilion) bagi pakej bantuan Gaza, manakala Trump turut mengumumkan komitmen tambahan AS$10 bilion (RM39.7 bilion) daripada Amerika Syarikat.

Laporan itu turut menyebut sebahagian dana tidak disalurkan melalui mekanisme Bank Dunia yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebaliknya dialihkan ke akaun bank swasta JPMorgan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap ketelusan serta pemantauan kewangan.

Seorang pegawai Lembaga Keamanan Gaza yang dipetik Financial Times berkata, beberapa saluran pembiayaan telah disediakan, namun penderma memilih alternatif lain, selain menyatakan laporan kewangan hanya akan dikemukakan kepada lembaga eksekutif pada masa yang dianggap sesuai.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan sama menyebut sebahagian dana yang telah dijanjikan masih belum digunakan secara efektif di Gaza.

Sumbangan sebanyak AS$20 juta (RM78 juta) oleh Maghribi dilaporkan digunakan untuk operasi pejabat wakil khas, manakala AS$100 juta (RM397 juta) daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi latihan pasukan polis Gaza masih belum dilaksanakan.

Selain itu, peruntukan dana oleh kerajaan AS juga belum disalurkan secara terus kepada badan tersebut, sebaliknya masih dalam proses penstrukturan semula oleh Jabatan Negara AS.

Seorang pembantu kanan Kongres AS dipetik berkata, tiada dana yang benar-benar disalurkan kepada lembaga berkenaan, selain menambah bahawa tidak ada rancangan jelas untuk badan itu menguruskan dana tersebut secara langsung.

Laporan Financial Times turut menyifatkan keadaan itu sebagai mencerminkan kelemahan pelaksanaan dasar berkaitan Gaza, meskipun inisiatif tersebut sebelum ini digambarkan sebagai projek antarabangsa utama.

Sementara itu, status undang-undang serta struktur operasi Lembaga Keamanan Gaza masih belum diperjelaskan sepenuhnya, dengan penggubal undang-undang AS turut menuntut penjelasan lanjut daripada pentadbiran Trump mengenai peranan dan mekanisme badan tersebut.

Setakat ini, tiada kontrak besar dilaporkan telah dimeterai walaupun proses tender untuk projek keselamatan dan pembinaan semula telah dimulakan.- Agensi

Scroll to Top