
Anutin. Foto Reuters
BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengingatkan bahawa sebarang cadangan pembinaan sinagog (rumah ibadat penganut Yahudi) di Bangkok perlu mematuhi undang-undang negara itu.
Menurut laporan media Thailand, Khaosod English, Anutin memberikan respons ringkas ketika ditanya mengenai permintaan membina sebuah sinagog di kawasan Sukhumvit 22 di ibu negara berkenaan.
“Jangan langgar undang-undang,” katanya.
Khaosod English melaporkan kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada pertanyaan media mengenai cadangan pembinaan rumah ibadat tersebut yang dikaitkan dengan komuniti Israel di Thailand.
Walaupun ringkas, kenyataan Anutin dilihat menegaskan bahawa sebarang pembangunan atau aktiviti yang melibatkan warga asing perlu mematuhi peraturan dan undang-undang Thailand.
Setakat ini, pihak berkuasa Thailand belum mengeluarkan kenyataan rasmi yang lebih terperinci mengenai status permohonan pembinaan sinagog berkenaan.
Laporan itu juga tidak menyatakan sama ada cadangan tersebut telah dikemukakan secara rasmi kepada pihak berkuasa atau masih berada di peringkat perbincangan.
Kenyataan Anutin itu mendapat perhatian selepas disiarkan oleh media berkenaan menerusi platform media sosialnya, sekali gus mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai cadangan pembinaan rumah ibadat tersebut.
Bagaimanapun, kerajaan Thailand masih belum mengumumkan sebarang keputusan rasmi berhubung cadangan pembinaan sinagog berkenaan.-Agensi



