Aplikasi khas selami masalah penduduk Puteri Wangsa – Maszlee

Aplikasi khas selami masalah penduduk Puteri Wangsa – Maszlee

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik merancang untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih khusus bagi memudahkan penduduk menyalurkan aduan dan masalah setempat sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau berkata, pendekatan praktikal amat diperlukan memandangkan kedudukan geografi kawasan Puteri Wangsa yang luas serta demografi penduduknya yang sangat rencam, bermula dari kawasan elit seperti Austin Heights hingga ke kawasan Felda Ulu Tebrau.

“Apabila rencam macam ini, kita kena praktikal dan sofistikated. Antaranya saya nampak penggunaan aplikasi mudah alih mungkin boleh membantu,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di sini baru-baru ini.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, aplikasi berkenaan dapat membantu mengenal pasti golongan tercicir seperti ibu tunggal atau Orang Kurang Upaya (OKU) yang layak menerima bantuan tetapi terlepas pandang disebabkan kekangan birokrasi atau capaian maklumat.

Maszlee berkata, beliau berhasrat mencontohi model kepimpinan dan gerak kerja turun padang yang dipraktikkan Datuk Bandar New York Zohran Mamdani yang memanfaatkan penggunaan aplikasi khusus untuk mendengar maklum balas langsung daripada masyarakat setempat.

“Apa yang ditunjukkan oleh Mamdani itu perlu saya pelajari dan perhalusi. Beliau terlibat secara langsung serta ada aplikasi dan sebagainya untuk mereka (masyarakat) nyatakan permasalahan, di samping media sosial,” katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif lain yang akan dilaksanakan ialah libat urus berterusan dengan badan bukan kerajaan, persatuan penduduk dan pihak berkuasa serta sesi dialog awam.

Mengenai kempennya, Maszlee berkata, beliau akan menggunakan platform media sosial secara mikro bagi mendekati golongan pengundi yang sukar ditemui secara fizikal, termasuk pengundi muda dan mereka yang bekerja di Singapura.

“Golongan seperti ini mungkin tak ada waktu kalau kita buat tinjauan mesra. Jadi, cara yang mudah untuk mendekati mereka ialah melalui media sosial,” katanya.

Menurut Maszlee, kempen menerusi platform digital mempunyai cabaran tersendiri ekoran kewujudan algoritma dan ruang gema yang boleh mengehadkan penyampaian maklumat.

Justeru, beliau bersama pasukan kempennya memilih untuk tidak menggunakan pendekatan makro, sebaliknya memperincikan setiap hantaran mengikut acuan rencam lokaliti, kelas sosioekonomi dan latar belakang kaum pengundi.

Golongan sasaran katanya, seperti generasi muda (Gen Z), rakyat Malaysia bekerja di Singapura terutamanya daripada komuniti Cina, penduduk tinggal di luar pusat bandar serta golongan profesional yang sibuk.

“Setiap tempat, golongan dan kelas ekonomi ada masalah dan tuntutan yang berbeza. Jadi, dalam menggunakan pendekatan media sosial, saya perlukan pendekatan yang berbeza… perlu kepelbagaian,” katanya.

Kerusi DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Mazlee, Rashifa Aljunied daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Teow Chia Ling (Barisan Nasional), Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia) dan Wang Wee Siong (Bebas).

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.- Bernama 

Scroll to Top