APMM Pahang anjur program kemasyarakatan

APMM Pahang anjur program kemasyarakatan

KUANTAN – Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan ketika berada di laut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menganjurkan program kemasyarakatan bersama komuniti setempat di Pos Maritim Teluk Gading, Rompin hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, program diadakan sempena sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) tahun 2022.

“Inisiatif ini juga dapat menyebarluaskan pengetahuan serta mendidik komuniti maritim dalam membudayakan keselamatan diri sendiri dan harta benda ketika berada di laut.

“Ini  memberi peluang dan ruang kepada agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan yang terlibat untuk bersama-sama berinteraksi secara langsung bersama komuniti maritim dalam usaha menangani isu-isu yang dihadapi komuniti nelayan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

HKKM diadakan dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambah Kamal Ariffn, usaha dan nilai murni ini dapat mendekatkan Maritim Malaysia dengan komuniti sebagai mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat dan aduan sekiranya diperlukan.

“Jika ada sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya. – MalaysiaGazette