harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga dinasihatkan berwaspada dengan sindiket penipuan yang mensasarkan remaja serta kanak-kanak menerusi penjualan Robux Coin yang digunakan dalam permainan video Roblox.
Terbaharu, seorang remaja berusia 13 tahun menjadi mangsa sindiket berkenaan dan kerugian lebih RM1,000 walaupun pada mulanya hanya mahu membeli Robux bernilai RM50 saja.
Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu membabitkan seorang remaja di Kuantan, baru-baru ini.
“Penipu terbabit bukan saja menipu duit mangsa, malah mengugut untuk menyaman mangsa RM20,000 sekiranya membuat laporan polis kerana kononnya memfitnah syarikat mereka.
“Mereka juga menggunakan aplikasi dan laman sesawang palsu yang kelihatan seperti platform jualan sebenar bagi memperdaya remaja.
“Golongan remaja menjadi sasaran kerana mudah terpengaruh dengan tawaran menarik dan kurang berpengalaman mengenal pasti modus operandi penjenayah siber,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, masyarakat dinasihatkan sentiasa berhati-hati dengan modus operandi penjenayah terbabit yang bukan hanya mensasarkan permainan Roblox, malah pelbagai platform dalam talian yang memiliki matawang permainan atau kredit mereka sendiri.
Katanya, penjenayah akan menakutkan sasaran mereka dengan ugutan saman sekiranya mangsa enggan mengikut arahan dan mahu melaporkan kepada pihak polis.
Michael berkata, sindiket akan memberi pelbagai alasan supaya mangsa membuat pembayaran tambahan antaranya caj cukai, pengaktifan id pengguna dan macam-macam lagi.
“Ini hanyalah taktik psikologi yang digunakan sindiket bagi memastikan mangsa berdiam diri. Ugutan sedemikian tidak benar dan mangsa tidak perlu takut untuk membuat laporan polis
“Ibu bapa pula perlu memainkan peranan memantau dan memastikan anak-anak mereka sedar mengenai risiko penipuan dalam talian dan mengingatkan mereka supaya tidak membeli permainan atau barangan digital daripada individu yang tidak dikenali di media sosial,” katanya.
Menurutnya, kegiatan jenayah seperti ini lazimnya membabitkan pemindahan wang ke akaun bank luar negara justeru memerlukan tindakan yang pantas bagi menyekat aliran tunai sebelum hilang tanpa jejak.
“Apabila laporan polis di Malaysia, kita berharap pihak berkuasa dapat terus berhubung agensi antarabangsa seperti INTERPOL (Polis Antarabangsa) bagi mengesan maklumat akaun yang digunakan penipu.
“Walaupun sudah wujud kerjasama antarabangsa, kami berharap ia dapat dipertingkatkan lagi kerana banyak kes penipuan membabitkan akauan bank dari negara luar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




