‘BERSAMA’ tiada di N. Sembilan, fokus PRN Melaka -“Persaingan antara PH & BN lebih sengit”

‘BERSAMA’ tiada di N. Sembilan, fokus PRN Melaka -“Persaingan antara PH & BN lebih sengit”

Parti BERSAMA tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebaliknya mengalihkan fokus sepenuhnya kepada persiapan menghadapi PRN Melaka yang dijangka berlangsung beberapa bulan lagi.

Keputusan dibuat ambil kira persaingan

Menerusi satu kenyataan, Presiden BERSAMA, Rafizi Ramli menyatakan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira persaingan yang lebih sengit antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan, selain beberapa isu politik semasa yang dijangka turut mempengaruhi perjalanan pilihan raya.

“Mengambil kira isu-isu ini serta kekangan masa dan sumber, 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 berpendapat adalah lebih strategik agar fokus 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 beralih kepada Pilihanraya Negeri Melaka yang akan diadakan beberapa bulan dari sekarang.
“Oleh itu, 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 tidak akan menyertai PRN Negeri Sembilan untuk memberi sepenuh tumpuan kepada PRN Melaka,” ujarnya.

Menurut beliau, mesyuarat persediaan awal bagi menghadapi PRN Melaka akan diadakan pada 21 Julai ini untuk mengenal pasti kerusi yang bakal ditandingi serta memulakan proses saringan calon agar senarai calon dapat diumumkan lebih awal.

Anjur majlis penghargaan kepada sukarelawan & calon bertanding

Selain itu, BERSAMA turut akan menganjurkan majlis penghargaan kepada sukarelawan dan calon yang terlibat dalam PRN Johor pada 19 Julai di ibu pejabat parti di Puchong, sebelum diteruskan dengan acara tontonan perlawanan akhir Piala Dunia pada malam yang sama.

Rafizi turut mengajak ahli parti, sukarelawan dan orang ramai menghadiri kedua-dua program tersebut sebagai sebahagian daripada persiapan awal menjelang PRN Melaka.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 dan sukarelawan yang berkobar-kobar bersedia digerakkan ke PRN Negeri Sembilan, walaupun penat di PRN Johor masih belum reda.
“Kami berharap tempoh masa yang lebih lama memberi ruang kepada 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 masuk ke PRN Melaka dengan lebih bersedia, di samping pertimbangan-pertimbangan lain yang telah diambil kira.
“Selamat mengundi kepada pengundi-pengundi Negeri Sembilan, Insya-Allah kita akan berjumpa di Pilihanraya Umum ke-16 kelak,” katanya.

Sumber: Facebook Rafizi Ramli

Scroll to Top