APMM tumpas 51 kes cubaan seludup masuk Pati sejak Januari

APMM tumpas 51 kes cubaan seludup masuk Pati sejak Januari

am@hmetro.com.my

Pelabuhan Klang: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menumpaskan 51 kes cubaan menyeludup masuk 413 pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini sejak Januari hingga pertengahan bulan ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim R Vincent berkata, tindakan pantas dan kesiapsiagaan pasukan melaksanakan penguatkuasaan di perairan Selat Melaka membolehkan pelbagai aktiviti jenayah menerusi perairan negara dipatahkan.

“Data berkenaan menunjukkan iltizam APMM memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) selamat daripada ancaman jenayah dan aktiviti salah laku maritim.

“Ini termasuk rompakan, pencerobohan bot nelayan asing, penyeludupan barangan kontraban serta kemasukan Pati atau mana-mana pihak melalui jalan laut secara haram,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 di atas Kapal KM Pekan di perairan Pelabuhan Klang pada jarak tujuh batu nautika dari Jeti Pulau Ketam di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksesais, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah dan Pengawai Memerintah KM Pekan, Kepten Maritim Mohd Yusri Hussin.

Mengulas lanjut katanya, selain rondaan dan operasi secara berterusan, APMM turut melaksanakan latihan berbentuk operasi di laut bertujuan mengukur kesiagaan dan keupayaan aset dalam melakukan tugasan yang diberikan.

“Eksesais ini bermula 26 November di Klang dan akan berakhir di Pulau Langkawi pada 3 Disember nanti membabitkan kira-kira 500 pegawai dan anggota.

“Eksesais ini menggunakan kekuatan 15 kapal terdiri daripada Kelas OPV, Kelas NGPC, Kelas Gagah, Kelas Ramunia, Kelas Nusa dan Kelas Tugau.

“Selain itu dua pesawat udara milik agensi iaitu helikopter Agusta Westland AW139 dan AS365 N3 Dauphin akan turut serta sepanjang eksesais itu,” katanya.

Beliau berkata, eksesais bakal melalui perairan Selat Melaka sepanjang 630 batu nautika dan ini kesinambungan kejayaan Eksesais Maritim Perkasa Timur 2023 di kawasan perairan Sabah dan Sarawak pada awal bulan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top