APMM tumpas sindiket rokok seludup RM65.75 juta di perairan Sipadan

APMM tumpas sindiket rokok seludup RM65.75 juta di perairan Sipadan

am@hmetro.com.my

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mencatat rampasan terbesar dalam sejarah penubuhannya apabila menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok di perairan selatan Pulau Sipadan, Semporna dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM65.75 juta.

Dalam Op Sejahtera dan Op Tiris yang digerakkan kira-kira 1 pagi Isnin lalu, pasukan itu kapal kargo dan bot kumpit yang disyaki digunakan bagi memindahkan ribuan kotak rokok tanpa cukai, dipercayai dibawa dari Vietnam untuk dipasarkan di Malaysia selain Filipina dan Indonesia.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan dan pemantauan yang dijalankan terhadap kegiatan penyeludupan di perairan berkenaan.

Katanya, hasil rondaan yang dilakukan oleh pasukan 12 anggota KM Kidurong membawa kepada pengesanan kapal kargo mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Sipadan.

“Pemantauan mendapati kapal kargo itu sedang menjalankan aktiviti pemindahan dan pemunggahan beberapa kotak berwarna coklat ke bot kumpit.

“Pasukan operasi kemudian menghampiri kedua-dua vesel berkenaan dan pemeriksaan lanjut menemukan 3,014 kotak rokok putih pelbagai jenama dengan setiap kotak mengandungi 50 karton rokok,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Zon Tawau, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya kegiatan itu didalangi sindiket penyeludupan terancang yang mempunyai rangkaian operasi berskala besar.

“Nilai rokok dirampas dianggarkan RM24.252 juta termasuk cukai sebanyak RM12.056 juta. Kita juga menyita kapal kargo dan bot kumpit serta peralatan lain, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggar RM65.75 juta.

“Ini sekali gus menjadikannya rampasan terbesar dalam sejarah Maritim Malaysia,” katanya.

Mohd Khairulanuar berkata, seramai 20 individu berusia antara 26 hingga 60 tahun termasuk nakhoda dan kru warga asing ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kapal kargo berdaftar di Malaysia itu dikendalikan juragan serta kru warga Indonesia, India dan Malaysia, manakala bot kumpit yang tidak berdaftar dikendalikan seorang juragan bersama 13 kru warga Filipina.

Semua rampasan dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 serta Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kegagalan mengemukakan dokumen yang sah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top