Ipoh: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM) berjaya menumpaskan satu sindiket menyedut dan mencuri lateks dalam operasi bersepadu di sebuah premis di Taiping hari ini.
LGM dalam kenyataan memaklumkan operasi itu digerakkan Cawangan Risik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta dengan kerjasama Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan (UIP) LGM.
Menurut LGM, operasi itu dijalankan berdasarkan hasil risikan awal pihak polis selepas pihak PGA Ulu Kinta berjaya menjejaki pergerakan mencurigakan sebuah lori tangki yang membawa muatan 25 tan metrik lateks di premis berkenaan.
“Premis itu didapati aktif menjalankan aktiviti menyedut dan mencuri lateks serta terlibat dalam sindiket penipuan berat timbangan lori tangki.
“Pihak polis merampas dan menyerahkan kepada LGM empat intermediate bulk container (IBC) berjumlah 2,500 kilogram (kg) yang berisi lateks, 50 plat besi seberat 20 kg/unit dan beberapa barang sitaan lain yang dianggarkan bernilai lebih RM21,500,” menurut kenyataan itu.
LGM memaklumkan aktiviti itu merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014 di bawah Peraturan 3 (1)(a) iaitu tiada seorang pun boleh membeli, menyimpan, menjual, memproses atau membungkus atau mengeksport getah tanpa lesen.
Individu terbabit boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Justeru, LGM mengalu-alukan orang awam untuk membuat sebarang aduan berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan dalam industri getah kepada LGM melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) LGM https://lgm.spab.gov.my/eApps/system/index.do.
© New Straits Times Press (M) Bhd




