Harga petrol, diesel turun bermula esok

Harga petrol, diesel turun bermula esok

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 25 Jun hingga 30 Jun depan susulan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, harga runcit RON97 diturunkan sebanyak 25 sen kepada RM4.10 seliter berbanding RM4.35 seliter sebelum ini.

Menurutnya, harga RON95 tanpa subsidi turut diturunkan 25 sen kepada RM3.47 seliter, manakala diesel di Semenanjung Malaysia dikurangkan 30 sen kepada RM4.07 seliter.

“Harga RON95 bersubsidi di bawah BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

“Penurunan ini mencerminkan perkembangan pasaran minyak global yang lebih menggalakkan susulan penyederhanaan harga minyak mentah global dan perkembangan lebih positif dalam konflik di Asia Barat,” menurut kenyataan itu,” katanya dalam pada Rabu.

Jelas kenyataan tersebut, meskipun berlaku penurunan harga, pasaran petroleum global masih berdepan ketidaktentuan dalam jangka sederhana termasuk risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad, pemulihan rantaian bekalan yang mengambil masa dan tahap inventori serta kos logistik belum kembali sepenuhnya ke paras prakonflik.

“Dalam keadaan ini, Kerajaan Madani terus komited untuk melindungi rakyat daripada turun naik harga pasaran melalui subsidi bersasar, di samping memperkukuh keterjaminan bekalan jangka panjang melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa termasuk Turkmenistan dan Rusia.

“Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan Madani menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” katanya.

 

Scroll to Top