Applecrumby jenama Malaysia selamat dipakai, organik

Applecrumby jenama Malaysia selamat dipakai, organik

Pemakaian lampin pakai buang menjadi keperluan wajib bagi ibu bapa yang mempunyai anak baru lahir atau masih kecil.

Mengutamakan kesihatan kulit dan keselesaan anak, ibu bapa sudah pasti ingin menyediakan lampin pakai buang berkualiti dan sesuai untuk si manja.

Bagaimanapun, tidak ramai pengguna yang tahu bahawa lampin pakai buang di pasaran kebanyakan mempunyai klorin iaitu unsur kimia yang boleh menyebabkan kulit bayi menjadi kering, gatal, merekah dan sensitif.

Klorin sememangnya melindungi individu daripada bakteria berbahaya yang mungkin wujud dalam kolam renang, tetapi bahan kimia ini turut menyingkirkan minyak semula jadi pada kulit selain memberi kesan sampingan lain.

Lampin pakai buang yang bebas kimia sepenuhnya, sebelum ini tiada di pasaran di negara ini.

Namun, seiring dengan arus perubahan, ibu bapa kini mempunyai pilihan memakaikan bayi mereka lampin pakai buang yang bebas klorin.

Jenama lampin pakai buang, PureBasics Applecrumby antara pilihan kerana ia 100 peratus bebas klorin sepenuhnya dan pembuatannya dicipta dengan teknologi Greencore-DryTM untuk memastikan bayi selesa dan kulit terjaga tanpa bahan kimia yang berbahaya.

Berkongsi mengenai idea mencipta produk lampin pakai buang semula jadi 100 peratus bebas klorin, pengasas bersama Applecrumby, Jesmine Tan berkata, ia bermula ketika anak perempuannya masih bayi.

“Ketika itu saya mencari lampin pakai buang semula jadi, bebas klorin dan organik untuk bayi kami tetapi ketika itu sukar untuk mendapatkannya di pasaran. Untuk mendapatkan produk seumpama itu kami perlu dapatkannya dari luar negara.

“Lalu, saya dan suami mendapat ilham mencipta produk bayi untuk anak sendiri dan sejak itu juga wujudnya persoalan, mengapa kami tidak mencipta produk seumpama itu untuk ibu bapa di Malaysia.

“Kami mahu bawakan produk yang selamat, semula jadi dan organik bukan hanya untuk kami berdua tapi seluruh ibu bapa di Malaysia kerana kami percaya, ibu bapa lain juga mahukan yang sama iaitu produk terbaik untuk anak mereka yang bebas kimia,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut Jesmine, jenama lampin pakai buang itu mula diperkenalkan 12 tahun lalu.

Applecrumby ialah syarikat yang menjadi perintis kepada produk lampin pakai buang 100 peratus bebas klorin di negara ini dan Asia Tenggara.

Beliau berkata, pengenalan produk itu adalah perubahan besar yang dibawakan kepada ibu bapa di Malaysia kerana ia adakah lampin pakai buang didatangkan tanpa klorin.

“Klorin bukan suatu yang perlu dalam produk bayi terutamanya lampin pakai buang. Selepas melalui beberapa proses, termasuk kajian dan tinjauan terhadap ibu bapa mengenai apa yang mereka mahukan dan perlukan, kami berjaya membawakan produk lampin pakai buang yang selamat, semula jadi, organik dan bebas kalorin sepenuhnya.

“Antara kategori produk yang kami banggakan adalah lampin pakai buang dan sudah pastinya kita ada kategori lain seperti produk penjagaan kulit dan pembersihan termasuk tisu basah bayi,” katanya.

Sebelum ini, Applecrumby hanya menawarkan produk lampin pakai buang premium yang organik, selamat dan semulajadi.

Namun, memahami harga produk premium agak mahal bagi 80 peratus populasi di negara ini, Applecrumby mengambil inisiatif memperkenalkan lampin pakai buang Purebasics dengan menawarkan harga mampu milik pada hujung tahun lalu.

Produk selamat, organik

“Apabila kami memulakan dengan menawarkan produk premium, kami juga berfikir bagi jangka masa panjang bahawa produk selamat dan organik bukan hanya bagi mereka yang mampu, ia sepatutnya untuk semua orang kerana kita bercakap pasal keperluan bayi.

“Oleh itu semua ibu bapa perlu diberikan kemudahan dan kebolehcapaian kepada produk kami kerana ia sesuatu yang penting dan keperluan,” katanya.

Menurutnya lagi, ia sepatutnya dijadikan norma dalam masyarakat untuk kebaikan anak mereka dan sebab itulah PureBasics diperkenalkan di pasaran.

“Bagi produk ini kami masih kekalkan fokus utama dan material yang diguna berkonsepkan 100 peratus bebas klorin. Kami tidak akan kompromi dengan hal ini,” katanya.

Harga sekeping lampin pakai buang PureBasics antara RM1.20 hingga RM1.50. Bagaimanapun, ketika promosi ia boleh jadi lebih murah dengan harga 80 sen hingga RM1.

Orang ramai juga boleh mendapatkan lampin pakai buang ini di mana-mana kedai bayi di seluruh negara dan pada pertengahan tahun ini, Applecrumby akan melancarkan produk di dua farmasi.

Applecrumby juga bakal bekerjasama dengan stesen minyak untuk menawarkan produk di kiosk bagi memudahkan perjalanan orang ramai ke mana sahaja mereka pergi untuk perjalanan panjang.

Utamakan keselesaan anak


Fiza dan Jesmine menunjukkan lampin pakai buang Applecrumby. – FOTO Aziah Azmee/BH

Duta dan pengguna Applecrumby yang juga pengacara terkenal, Fiza Frizzy, berkata, sebelum ini dia mencuba beberapa jenama lampin pakai buang lain.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia beralih kepada jenama lampin pakai buang Applecrumby kerana kebanyakan lampin pakai buang lain kerap bocor dalam tempoh dua hingga tiga jam selepas digunakan.

“Saya mula gunakan produk Applecrumby ketika anak pertama saya berumur dua tahun lebih. Anak saya, waktu malam masih perlukan lampin dan disebabkan itu saya sanggup berbelanja lebih dan mendapatkan produk berkualiti untuk memastikan ia tidak bocor dan anak dapat tidur selesa,” katanya.

Lampin kerap bocor

Fiza berkata, sebagai ibu yang sibuk dan berkerjaya, keadaan lampin anak yang kerap bocor turut menjadi cabaran baginya.

“Selepas melalui pengalaman lampin pakai buang yang kerap bocor, saya mengambil inisiatif mencari lampin yang boleh tahan lama.

“Selepas mencuba Applecrumby, saya dapati walaupun lampin anak sudah penuh, ia tak bocor, malah tahan lebih daripada lapan jam. Saya sangat berpuas hati dan sejak daripada itu, saya selalu beli barangan bayi jenama Applecrumby bukan hanya lampin tetapi juga termasuk, tisu basah, bahan pencuci, dan set penjagaan kulit,” katanya.

“Begitu juga bahan pencuci pakaian Applecrumby memang wangi dan terjamin sebab bebas kimia. Saya bimbang kalau pakai produk yang ada kimia, sudah pasti akan beri kesan kepada anak,” katanya yang yakin dengan material digunakan Applecrumby.

© New Straits Times Press (M) Bhd