Aqasha Tak Setuju Jumlah Pengikut Dijadikan ‘Penanda Aras’ Daripada Bakat – “Pelakon Patut Diukur Pada Kebolehan Mereka”

Aqasha Tak Setuju Jumlah Pengikut Dijadikan ‘Penanda Aras’ Daripada Bakat – “Pelakon Patut Diukur Pada Kebolehan Mereka”

Pelakon, Aqasha berpendapat bahawa tidak wajar sekiranya segelintir pihak masih menjadikan jumlah pengikut di media sosial sebagai penanda aras untuk memberi tawaran kerja berbanding bakat.

Ketika ditemui XTRA, Aqasha atau nama lengkapnya Firdee Akasya Rosli, 43, berkata perkara tersebut bagaimanapun tidak pernah berdepan dengan keadaan berikut.

“Situasi pelakon ditolak kerana tidak ada pengikut yang ramai di sosial media tu agak kelakar sebab pertama sekali yang patut diukur untuk seseorang pelakon adalah kebolehannya sendiri.

“Saya tidak pernah mengalami isu yang sama, namun ketika di awal penglibatan ada yang pernah kata saya bukan hero material. Pada saya tak mengapa, kerana ketika itu kemampuan saya pun belum terbukti.

“Saya bukan seorang selebriti yang selalu nampak galak dan rancak di media sosial, kalau ada benda dan bahan baru saya kongsi,” katanya.

Aqasha berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di sesi penggambaran bagi mempromosikan sebuah drama arahan Pali Yahya yang diadakan di Seri Pentas, Bandar Utama, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Mengulas lebih lanjut, Aqasha yang juga seorang penyanyi popular menerusi lagu Embun ini juga berkata perkara tersebut disifatkan sebagai satu ‘trend’ yang akan beredar mengikut zaman.

Bagaimanapun, Aqasha menasihati pendatang baru untuk tidak mensia-siakan peluang yang datang kepada mereka.

“Sekarang ini, ‘mazhab’ jadi terbalik sikit dan tertukar…bergantung kepada nombor pula jadinya. Mungkin mereka berpendapat nombor itu akan membuatkan ianya menjadi viral.

“Saya rasa situasi itu tidak akan berlaku setiap masa.. akan ada benda yang boleh jadi viral tetapi ia tidak boleh mendahului seni. Jadi untuk pendatang baru, mereka kena menghormati ruang, peluang dan seni yang diberikan.

“Tanpa rasa hormat kepada seni, mereka sukar untuk terus berada dalam industri,” ujarnya lagi.

Scroll to Top