Arab Saudi hadapi serangan dron kumpulan pro-Iran dari Iraq

Arab Saudi hadapi serangan dron kumpulan pro-Iran dari Iraq

RIYADH: Kementerian Pertahanan Arab Saudi berkata pada Isnin bahawa ia telah memintas beberapa dron yang dilancarkan oleh kumpulan pro-Iran dari Iraq.

Arab Saudi berulang kali menjadi sasaran Iran dan sekutunya ketika kemuncak perang di Asia Barat.

Namun, serangan terbaharu itu berlaku ketika pertempuran memasuki tempoh bertenang sejak Sabtu, selepas 13 hari saling berbalas serangan antara AS  dan Iran.

Kementerian Pertahanan Arab Saudi berkata, cubaan serangan telah dilancarkan dari wilayah Iraq dan dilakukan oleh militia yang disokong Iran, menurut kenyataan rasmi yang disiarkan di media sosial.

Kementerian itu berkata, dron berkenaan menyasarkan kemudahan petroleum di kawasan timur negara itu serta ibu negara, Riyadh.

Arab Saudi turut menuntut Iraq supaya mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan wilayahnya tidak digunakan sebagai lokasi pelancaran serangan, menurut satu lagi kenyataan yang disiarkan oleh penyiar rasmi negara itu.

Kumpulan bersenjata pro-Iran yang berpangkalan di Iraq setakat ini tidak mengaku bertanggungjawab terhadap sebarang serangan di Iraq atau di rantau berkenaan.

Ia berlaku  sejak permusuhan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali tercetus awal bulan ini selepas gencatan senjata yang dicapai pada April gagal dipertahankan.

Arab Saudi dan beberapa negara Teluk sebelum ini menuduh militia pro-Iran di Iraq melancarkan gelombang serangan yang menyasarkan wilayah mereka pada fasa awal konflik tersebut. – AFP

 

Scroll to Top