PRN N9: Projek Pelabuhan Pintar AI di Port Dickson tak babitkan pengambilan tanah – Aminuddin

PRN N9: Projek Pelabuhan Pintar AI di Port Dickson tak babitkan pengambilan tanah – Aminuddin

am@hmetro.com.my

Seremban: Pelaksanaan projek Pelabuhan Pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Port Dickson tidak membabitkan pengambilan tanah.

Sebaliknya, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan ia akan dilaksanakan di tanah milik syarikat Tanco Holdings Berhad dan anak syarikatnya Midports Holdings Sdn Bhd.

Katanya, hakikat itu sekali gus menolak dakwaan pihak tertentu kononnya pelaksanaan projek itu akan membabitkan pengambilan tanah seluas kira-kira 566 hektar termasuk di kawasan kampung, hutan simpan, tanah adat, kawasan perindustrian, pertanian dan lot kediaman.

“Tidak benar projek Pelabuhan Pintar A1 di Port Dickson itu membabitkan pengambilan tanah. Tiada satu kampung pun yang akan kita korbankan untuk menjalankan projek ini.

“Tidak ada pengambilan tanah dan tidak ada hutan simpan yang akan terkesan di Port Dickson, mana ada tanah adat? Tanah adat hanya ada di Kuala Pilah, Jelebu, Rembau dan Tampin.

“Projek itu dilaksanakan di atas tanah milik Tanco Holdings Berhad yang mempunyai tanah seluas kira-kira 202 hektar (500 ekar),” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasminya, hari ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata, projek membabitkan pelaburan bernilai RM3.4 bilion bagi fasa pertama itu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan Port Dickson, selain berpotensi menjadikan kawasan berkenaan pusat perniagaan bebas cukai.

Calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi itu berkata, projek berkenaan adalah satu pemangkin perubahan dan akan memberikan manfaat besar kepada penduduk di kawasan berkenaan, khususnya di Linggi dan Pasir Panjang.

“Kerajaan negeri tidak akan mengabaikan kepentingan penduduk Melayu di kawasan itu, sebaliknya menegaskan tanah milik rakyat akan terus dilindungi.

“Saya akan pastikan tanah orang Melayu tetap terjaga dan dijaga dengan baik. Kita tidak mahu masyarakat dikelirukan atau ditakut-takutkan dengan perkara yang tidak benar,” katanya.

Aminuddin berkata, projek berkenaan tidak membabitkan Kampung Tanjung Agas, Kampung Sungai Raya mahupun Sungai Linggi, sekali gus nasib nelayan serta penduduk yang bergantung pendapatan di Sungai Linggi, tidak diganggu.

“Kerajaan negeri tetap komited memastikan kebajikan nelayan dan penduduk dalam kawasan lingkungan projek itu terus terbela.

“Mereka tidak perlu bimbang dan dalam masa sama jangan mudah percaya pihak tertentu yang sengaja mengambil kesempatan untuk kepentingan politik,” katanya.

Beliau berkata, kekeliruan berhubung perkara itu mungkin timbul kerana ada satu lagi projek pelabuhan dikenali sebagai Kuala Linggi International Port (KLIP) di sempadan Negeri Sembilan dan Melaka.

“Projek KLIP itu berada di bawah pentadbiran Kerajaan Melaka dan bukannya Negeri Sembilan,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis pecah tanah Projek Midport Smart AI Port (Midport) di Mukim Pasir Panjang, Port Dickson.

Midport Smart AI Port dibangunkan Midports Holdings Sdn Bhd, syarikat dimiliki 79 peratus oleh Tanco Holdings Berhad, dengan kerjasama strategik Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBINS).

Ia dibangunkan di kawasan kira-kira 72.84 hektar dalam Had Pelabuhan Kuala Sungai Linggi yang sudah diwartakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top