Istanbul: Arab Saudi hari ini Selasa mengeluarkan amaran kecemasan ‘potensi bahaya’ di Jeddah, Makkah dan Taif di bahagian barat negara itu, serta menggesa penduduk berlindung dan mematuhi arahan keselamatan rasmi.
Memetik laporan Anadolu Ajansi, Platform Amaran Awal Kebangsaan bagi Kecemasan Arab Saudi menggesa penduduk supaya berlindung serta mematuhi arahan keselamatan rasmi.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memperincikan bentuk potensi bahaya berkenaan.
“Penduduk dinasihatkan supaya bertenang dan segera bergerak ke tempat selamat berhampiran, sebaik-baiknya di dalam bangunan atau bilik bahagian dalam yang jauh dari tingkap, serta kekal di situ sehingga ancaman berakhir,” katanya.
Pertahanan Awam turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan terbuka, tingkap, balkoni dan bumbung bangunan, manakala individu yang berada di luar diminta memasuki bangunan terdekat atau berlindung di sebalik penghadang kukuh.
“Pemandu yang menerima amaran itu diarahkan memberhentikan kenderaan di lokasi yang jauh dari jambatan dan bangunan tinggi.
“Orang ramai pula digesa mengelakkan kawasan tumpuan ramai serta lokasi berbahaya, selain mengikuti arahan yang disalurkan menerusi saluran rasmi,” katanya.
Amaran berkenaan dikeluarkan ketika pertempuran antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi di Yaman semakin memuncak, dengan kumpulan itu melancarkan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron.
Dalam pada itu, di platform X Direktorat Jeneral Pertahanan Awam Arab Saudi turut mengeluarkan amaran kepada orang ramai untuk mematuhi arahan dikeluarkan.
“Demi keselamatan anda, teruskan mengikuti arahan #PertahananAwam dan elakkan berkumpul dan merakam. Sekiranya berlaku kecemasan, hubungi (911),” katanya. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd
