am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ibu kepada Yap Shing Xuen, 16, yang maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, tahun lalu, menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) mengemukakan rayuan terhadap keputusan membebaskan remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh anaknya.
Menerusi hantaran di Facebook, Wong Lee Ping turut meminta orang ramai menandatangani petisyen dan mengemukakan rayuan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi mendesak AGC mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan berhubung keputusan berkenaan.
“Kami bukan hakim dan bukan pendakwa raya tetapi hanya sebuah keluarga yang kehilangan anak perempuan.
“Kami menghormati bahawa prosiding undang-undang mempunyai peraturannya dan kami menghormati mahkamah serta proses kehakiman.
“Namun, sebagai keluarga mangsa, kemampuan untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang adalah terhad. Satu-satunya perkara yang boleh dilakukan sekarang ialah menyuarakan pendirian seperti ini supaya kebimbangan kami didengari,” katanya, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan membebaskan tertuduh menimbulkan kebimbangan mengenai keadilan buat mangsa selain keselamatan pelajar lain di sekolah.
Pada masa sama katanya, peguam juga mempunyai keterbatasan dalam membantu keluarganya kerana keputusan sama ada rayuan perlu difailkan dan bagaimana ia perlu diteruskan akhirnya tertakluk kepada pihak pendakwaan serta proses undang-undang.
Justeru, beliau berharap lebih ramai individu prihatin, pengamal perundangan dan individu yang mempunyai pengetahuan serta pengalaman dalam undang-undang jenayah dan prosiding rayuan tampil memberikan bantuan serta panduan sewajarnya.
“Kami tidak meminta sesiapa membuat keputusan awal berhubung kes ini.
“Kami hanya berharap AGC mempertimbangkan dengan serius untuk mengemukakan rayuan sekiranya terdapat ruang di sisi undang-undang dan suara seorang ibu yang kehilangan anak perempuannya akan didengari,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan remaja berkenaan selepas mendapati dia tidak siuman ketika kejadian.
Bagaimanapun, Hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja itu ditahan atas perkenan Sultan Selangor di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk menjalani rawatan.
Tertuduh didakwa membunuh Shing Xuen di tandas perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4), Bandar Utama, Petaling Jaya antara pukul 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
