Jeddah: Arab Saudi bersedia menganjurkan Piala Dunia dengan penyertaan 64 pasukan pada edisi 2034 sekiranya Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) meluluskan cadangan kontroversi untuk memperluas kejohanan itu daripada 48 pasukan, kata Menteri Sukan negara itu, Putera Abdulaziz bin Turki Al-Faisal.
Ketika ini, cadangan rasmi daripada CONMEBOL (Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan) mencadangkan Piala Dunia 2030 diadakan di Sepanyol, Portugal dan Maghribi dengan membabitkan 64 pasukan sempena ulang tahun ke-100 kejohanan, namun mendapat tentangan daripada beberapa konfederasi lain.
Edisi 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico akan menyaksikan peningkatan jumlah penyertaan kepada 48 pasukan – naik daripada 32 pasukan yang bertanding di Qatar 2022.
“Kami sudah bersedia, atau akan bersedia, insya-Allah. Jika FIFA memutuskan bahawa ia baik untuk semua, kami dengan senang hati akan laksanakan,” kata Abdulaziz kepada sekumpulan wartawan di Grand Prix Formula Satu Arab Saudi di Jeddah.
Beliau berkata, Arab Saudi sudah memiliki infrastruktur untuk mengurus jutaan pengunjung, seperti ketika musim Umrah dan Haji – dengan lebih 4 juta hadir ke Makkah pada Ramadan ini dan dijangka mencecah 5 juta semasa Haji.
Fifa secara rasmi mengumumkan Arab Saudi sebagai tuan rumah Piala Dunia Lelaki 2034 pada Disember lalu, selepas bidaan negara itu tidak dicabar tetapi turut menerima kritikan daripada pertubuhan hak asasi manusia.
Negara itu melabur besar dalam dunia sukan, namun dikritik kerana didakwa menggunakan sportswashing untuk mengalihkan perhatian daripada isu hak asasi manusia – tuduhan yang dinafikan Riyadh dengan menyatakan bahawa undang-undang mereka adalah untuk melindungi keselamatan negara.
Dalam buku bidaan rasmi, Arab Saudi berjanji akan menyediakan 15 stadium baharu atau dinaik taraf menjelang 2032, yang akan dibina dengan bantuan tenaga kerja migran.
Abdulaziz menegaskan keselamatan pekerja adalah keutamaan dan mereka sentiasa berkomunikasi dengan Fifa serta Qatar – penganjur edisi 2022 – bagi mendapatkan panduan serta berkongsi pengalaman.
Mengulas mengenai kematian seorang pekerja di tapak pembinaan Stadium Aramco di Al Khobar bulan lalu, beliau berkata ia berlaku selepas berjuta-juta jam kerja tanpa insiden.
“Setiap insiden kami ambil serius. Siasatan dijalankan dan kami semak apa yang tidak kena. Malangnya, dalam pembinaan, kejadian seperti ini memang boleh berlaku,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa Arab Saudi ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan memansuhkan sistem kafala pada 2021, sekali gus memberi lebih kebebasan kepada pekerja asing.
Menyentuh soal alkohol, Abdulaziz mengesahkan bahawa Piala Dunia 2034 di Arab Saudi akan berlangsung tanpa arak, sejajar dengan undang-undang negara yang melarang penjualan dan penggunaan alkohol.
“Setakat ini, undang-undang di sini tiada alkohol. Sama ada ia berubah pada masa hadapan, saya tak tahu. Tapi saya tak nampak ia sebagai masalah untuk acara sukan,” katanya.
“Kami dah anjur lebih 100 acara antarabangsa. Orang dari seluruh dunia hadir dan semua gembira dengan layanan, fasiliti dan pengalaman di sini.”
Sebagai perbandingan, Piala Dunia 2022 di Qatar juga tidak menjual alkohol di stadium dan kawasan awam, namun tersedia di beberapa zon peminat dan hotel terpilih.
© New Straits Times Press (M) Bhd




