puterialia@hmetro.com.my
Pentas ZEPP Kuala Lumpur menjadi saksi bagaimana dahaganya generasi muda masa kini terhadap sebuah konsert yang memberikan mereka ruang untuk tampil bebas, rancak dan santai tanpa sebarang protokol.
Ia nampaknya berjaya diterjemahkan dengan cukup cemerlang oleh penyanyi seberang, Naykilla menerusi konsert Naykilla Centyl in My Playground yang berlangsung dalam satu malam penuh magis.
Konsert ini bukan sekadar mengumpulkan peminat untuk menyaksikan penyanyi kesayangan mereka, sebaliknya 2,000 penonton yang hadir dilihat meletak seluruh jiwa mereka untuk berhibur dan menikmati persembahan yang dibawa figura Indonesia itu.
Suasana di dalam ZEPP Kuala Lumpur bertukar menjadi dinamik apabila majoriti penonton yang hadir memakai pakaian bertemakan grunge era Y2K, suapan skirt berlapis, jaket bersaiz besar, sarung kaki berbelang, cermin mata gelap serta calitan mekap agak berani.
Gaya ditampilkan itu secara tidak langsung menjadi cermin kepada warna muzik Naykilla sendiri yang terkenal dengan elemen eksperimental, nakal dan ‘rebel’.
Melalui apa yang disajikan, pemilik nama sebenar Nayya Rahmania ini menepis tanggapan skeptikal dan membuktikan penjenamaan dirinya melangkaui status seorang yang sekadar terkenal di aplikasi TikTok.
Naykilla yang mempersembahkan lebih daripada 10 lagu, sebaliknya mempamerkan kualiti penghibur yang mempunyai skil manipulasi pentas yang tinggi bagi memastikan momentum ribuan penonton tidak mati begitu sahaja.
Gaya persona yang dimiliki gadis berusia 23 tahun ini sememangnya mempunyai aura tersendiri yang membuatkan peminat seolah-olah digam untuk terus berdiri.
Gerak tari ringkas, komunikasi dua hala yang bersahaja bersama penonton, ditambah pula dengan bekalan tenaga konsisten menjadi ramuan yang menukarkan ZEPP Kuala Lumpur bagai festival malam minggu yang sangat rancak.
Membuka tirai sekitar jam 9 malam, Naykilla mempersembahkan lagu Bahasa Tubuhmu sebelum menyanyikan lagu cover Open Arms milik SZA yang digubah semula ke dalam variasi koplo hipdut yang menarik perhatian penonton untuk ikut sekali menyanyi.
Dalam pada itu, semasa konsert berlangsung, Naykilla turut menerima jambangan bunga daripada peminatnya dan menganggap ia adalah sesuatu yang sangat istimewa dalam hidupnya.
“Best flowers I’ve ever get (bunga terbaik yang pernah saya dapat),” katanya.
Satu perkara yang perlu dipuji mengenai corak persembahannya adalah sifat setiakawannya dan Naykilla sedar akar umbi bakatnya berkembang daripada sokongan ekosistem komuniti serta jaringan rakan yang sentiasa berada di belakangnya.
Atas dasar itu, Naykilla memilih untuk berkongsi pentas berprestij berkenaan bersama rakan seperjuangan, RYO dan Yung Caters untuk menggegarkan slot mereka tersendiri.
Langkah strategik itu sebenarnya menonjolkan lagi sisi matang Naykilla bersama rakan-rakan yang membantunya membina empayar muzik dari bawah turut sama merasai nikmat sorakan peminat di Malaysia.
Kehangatan malam itu diteruskan lagi dengan kemunculan artis tempatan, Sophia Razak yang membawakan lagu Cenat Cenut, sebelum suasana Zepp Kuala Lumpur semakin membara menerusi trek MSG (Melayu Swag Giler) gandingan Against Mel serta F.Rider.
Bagaimanapun, klimaks dinanti-nantikan seisi sudah pasti tertumpu kepada detik di mana Naykilla membawakan lagu keramat yang melonjakkan namanya, Garam dan Madu.
Sebelum untaian hits itu berkumandang, penyanyi kelahiran Surabaya ini sempat membuka helaian diari lamanya dengan berkongsi momen kesempitan wang sehingga terpaksa menebalkan muka meminjam daripada rakan demi menyewa studio rakaman suatu ketika dahulu.
Percaturan itu ternyata berbaloi kerana hari ini, karya berkenaan bukan sahaja tular di media sosial, bahkan menjadi antara runut bunyi wajib buat Gen Z yang gemar menghasilkan video yang dipanggil ‘velocity’.
Walaubagaimanapun, ada beberapa fasa persembahan dirasakan meleret terutama ketika giliran artis jemputan mengambil alih pentas, berkemungkinan disebabkan barisan lagu yang dibawa asing bagi telinga peminat tempatan.
Namun begitu, kelemahan kecil terbabit ditutup oleh aura serta impak persembahan peribadi Naykilla yang sangat dominan.
Konsert yang berlangsung selama dua jam itu menyaksikan Naykilla amat tersentuh dengan sorakan peminat tempatan yang mengalu-alukan kedatangannya.
“I love you guys so much! (Saya sangat sayangkan anda semua!),” kata Naykilla yang sempat menitipkan rasa sayang kepada peminat tanah air.
Kesimpulannya, konsert Naykilla Centyl in My Playground tidak perlu dinilai dari sudut teknikal vokal yang sempurna mahupun kemewahan susunan grafik sistem cahaya semata-mata.
Jika Naykilla konsisten mengekalkan keberanian untuk meneroka genre baharu dan mempertahankan acuan identitinya sebagai penyanyi Gen Z, dia mampu membawa portfolio seninya melangkah jauh lebih tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




