Galdakao: Pelumba tuan rumah, Alex Aranburu mencipta detik manis apabila memenangi peringkat keempat Tour of the Basque Country, hari ini, manakala pelumba muda Perancis, Paul Seixas terus mengukuhkan kedudukan pendahulu keseluruhan.
Aranburu menamatkan perlumbaan sejauh 167.2 kilometer (km) dari Galdakao dengan penuh bergaya apabila menewaskan pelumba Norway, Tobias Halland Johannessen dengan kelebihan empat saat, manakala pelumba Itali, Christian Scaroni melengkapkan podium lapan saat di belakang.
Kemenangan itu menjadi kejayaan ketiga Aranburu dalam perlumbaan ini selepas turut muncul pemenang pada 2021 dan musim lalu, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pakar laluan di bumi sendiri.
Dalam saingan keseluruhan, Seixas terus menguasai jersi kuning apabila menambah kelebihan kepada dua minit 19 saat (s) di depan pencabar terdekat,
Primoz Roglic, dengan Florian Lipowitz di tempat ketiga, ketinggalan dua minit 28 saat (s).
Pelumba berusia 19 tahun itu menamatkan peringkat keempat di tempat kelapan selepas memanfaatkan laluan menurun dengan baik, susulan prestasi dominan dalam dua peringkat awal di utara Sepanyol.
Aksi seterusnya dijangka lebih mencabar apabila peringkat kelima sejauh 176.2km dari dan ke Eibar bakal menjadi penentu utama menjelang penamat perlumbaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




