BERMULA secara kecil-kecilan pada tahun 2017, seorang usahawan muda kini berjaya menghasilkan sehingga 38 tan arang tempurung kelapa sebulan, sekali gus membuktikan produk berasaskan sisa pertanian itu mempunyai nilai komersial yang tinggi dan potensi besar untuk dikembangkan.
Mohd Hamiz Zahiruddin Zahari, 31, berkata, permintaan yang semakin meningkat terhadap arang tempurung kelapa mendorong beliau untuk memberi tumpuan kepada pengeluaran produk berkenaan berikutan nilainya yang lebih tinggi berbanding arang kayu biasa.
“Sebelum ini, saya pernah mengusahakan dua jenis produk iaitu arang kayu biasa dan arang tempurung kelapa. Jadi, saya dapat melihat sendiri perbezaan serta kelebihan kedua-dua produk ini.
“Arang kayu memerlukan proses penghasilan yang lebih panjang walaupun bahan mentahnya mudah diperoleh dan lebih murah di pasaran.
“Sebaliknya, arang tempurung kelapa mempunyai bekalan yang lebih sukar diperoleh. Keadaan ini menjadikan nilai komersialnya lebih tinggi selain mempunyai potensi besar untuk dipelbagaikan sebagai produk hiliran,” katanya.

Mohd Hamiz Zahiruddin menunjukkan arang tempurung kelapa yang diusahakan di di Kampung Banggol, Setiu.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi perjalanan membangunkan perniagaan arang tempurung kelapa yang kini beroperasi di Kampung Banggol, Setiu.
Menurut Mohd Hamiz Zahiruddin, perniagaan itu bermula selepas beliau meninggalkan kerjaya sebagai guru Matematik bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah institusi swasta di Seremban.
“Waktu itu, saya nampak potensi dalam perniagaan ini dan nekad berhenti mengajar untuk membangunkan perniagaan arang tempurung kelapa secara kecil-kecilan sejak tahun 2017,” katanya.
Anak ketiga daripada tujuh beradik itu turut memiliki latar belakang pendidikan di Universiti al-Azhar, Mesir, namun tidak sempat menamatkan pengajian dalam bidang Syariah Islamiah.
“Saya sempat belajar di Universiti al-Azhar, Kaherah selama dua tahun tiga bulan sahaja. Pengajian saya terpaksa dihentikan dan saya perlu pulang ke tanah air berikutan pergolakan politik yang melibatkan konflik antara Mohamed Morsi dan Abdel Fattah el-Sisi sekitar tahun 2015.
“Namun, minat yang mendalam terhadap dunia keusahawanan mendorong saya untuk mencuba sesuatu yang baharu. Melalui perniagaan, saya melihat peluang untuk membangunkan idea, mencipta peluang pekerjaan dan menyediakan produk yang dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang,” katanya.

Arang tempurung kelapa yang siap dibungkus dan akan dipasarkan mengikut permintaan pelanggan.
Menurut beliau, walaupun tidak sempat menamatkan pengajian, ilmu yang diperoleh sepanjang berada di universiti tersebut tetap diamalkan menerusi penerapan konsep syariah muamalat dalam urusan jual beli serta pengurusan organisasi.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu menyifatkan sektor pembuatan arang tempurung kelapa tidaklah mencabar seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa isu modal permulaan dan modal pusingan menjadi antara cabaran utama yang dihadapi ketika mula menceburi sektor pembuatan dan perkilangan.
“Masalah tersebut berjaya diatasi melalui usaha mendapatkan sumber pembiayaan dan pinjaman tanpa faedah.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Pegawai Daerah Pentadbiran Tanah Besut, Ahmad Rizal Mamat, yang banyak memberikan dorongan serta bantuan dalam membangunkan perniagaan ini,” katanya.
Selain itu, beliau turut menerima sokongan penuh daripada bapanya, Zahari Idris, 61.
Ujarnya, perniagaan diusahakan beroperasi dari 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.
“Setakat ini, saya mempunyai dua pekerja tetap dan empat pekerja sambilan. Selain itu, saya juga telah memeterai surat hasrat (LOI) dengan tiga buah kilang bagi penghasilan arang karbon.
“Perniagaan ini turut berjaya menembusi pasaran di luar Terengganu termasuk Perak, Kuala Selangor dan Johor. Bagi pasaran tempatan pula, kami membekalkan arang shisha di kawasan Gong Kapas, Kuala Terengganu,” katanya.
Sementara itu, mengulas isu pengangguran dalam kalangan graduan, Mohd Hamiz Zahiruddin menasihatkan golongan muda agar tidak terlalu memilih pekerjaan sehingga terlepas peluang untuk membina masa depan sendiri.
Katanya, ilmu yang dipelajari di universiti bukan sekadar tiket untuk mendapatkan pekerjaan, malah penting dalam mencipta nilai dan peluang baharu.
“Jangan takut untuk bermula secara kecil-kecilan. Yang paling penting ialah kejujuran, disiplin, kesungguhan dan kesediaan untuk terus belajar daripada pengalaman.
“Bukan semua orang perlu menjadi usahawan, tetapi setiap anak muda perlu mempunyai keberanian untuk mencuba, berinovasi dan cipta peluang, bukan sekadar menunggu peluang itu datang,” katanya.



