Argentina, Maghribi sahkan tempat ke suku akhir

Argentina, Maghribi sahkan tempat ke suku akhir

Paris: Pemenang pingat emas dua kali dalam acara bola sepak Olimpik iaitu Argentina mengesahkan slot ke suku akhir bersama Maghribi dan Mesir pada aksi terakhir peringkat kumpulan hari ini.

Keempat-empat pasukan dalam Kumpulan B terikat dengan tiga mata menjelang perlawanan terakhir namun Argentina di bawah kendalian Javier Mascherano layak setelah mengalahkan Ukraine 2-0 di Lyon manakala Maghribi melangkah dengan kemenangan 3-0 menentang Iraq di Nice.

Maghribi, pemenang Piala Afrika Bawah-23 tahun lalu, mengakhiri saingan dengan jumlah gol yang sama dengan Argentina namun melayakkan diri sebagai juara kumpulan kerana rekod pertemuan lebih memihak kepada mereka.

Pasukan itu menewaskan Argentina 2-1 dalam perlawanan pembukaan mereka namun gol penyamaan pada saat-saat akhir untuk Amerika Selatan dibatalkan menerusi semakan VAR.

Maghribi akan bermain perlawanan suku akhir pada hari Jumaat di Paris menentang naib juara Kumpulan A, manakala pemenang kumpulan itu akan menentang Argentina di Bordeaux.

Kumpulan A akan dilengkapkan dengan Perancis memerlukan hanya satu mata menentang New Zealand untuk mengesahkan kedudukan teratas.

Amerika Syarikat dan Guinea juga berada dalam Kumpulan A, tetapi kini ada kemungkinan pertembungan antara pasukan Perancis kendalian Thierry Henry dan Argentina sebagai dua pencabar utama di peringkat suku akhir.

Gol menakjubkan Thiago Almada memberikan Argentina pendahuluan menentang Ukraine tidak lama selepas separuh masa dan pengganti Claudio Echeverri mengesahkan kemenangan mereka lewat permainan, menyusul untuk menjaringkan gol selepas tendangan Kevin Zenon ditampan.

Maghribi mudah menundukkan Iraq dengan semua gol mereka dijaringkan pada separuh masa pertama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top