zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Arif Fadzilah Abu Bakar mendedahkan dia mendapat banyak ‘ilmu’ daripada La’vere Corbin-Ong selepas menyertai latihan pusat skuad Harimau Malaya sejak 22 Mac lalu.
Katanya, segala ilmu yang dikongsikan pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memberi perkembangan yang bagus dalam usaha dia meningkatkan lagi prestasi untuk beraksi di pentas antarabangsa sekiranya tersenarai dalam skuad kebangsaan.
“Suasana sangat berbeza dengan skuad B-19 (bawah 19) dan B-23. Jadi saya dapat menimba ilmu dari pemain yang lebih berpengalaman dan bersama jurulatih Tan Cheng Hoe yang banyak bagi tunjuk ajar terutama dari segi taktikal.
“Saingan (di bek kiri) sangat sengit sebab Corbin-Ong lebih banyak pengalaman di pentas lebih tinggi. Tapi saya dapat belajar daripada dia dan dia banyak bagi tunjuk ajar,” katanya.
Arif yang pada awalnya diletakkan dalam senarai menunggu sebelum dipanggil Cheng Hoe dan kem latihan pusat ini adalah penampilan pertamanya bersama skuad senior kebangsaan.
Selain itu, Arif, 25, menganggap panggilan menyertai skuad kebangsaan buat kali pertama sebagai rezeki selepas baru melangsungkan perkahwinan bulan lalu.
“Saya harap peminat di luar sana dapat membantu dan menyokong saya. Kalau ada rezeki saya dapat bersama skuad senior, saya akan buat lebih terbaik pasukan kebangsaan.
“Perasaan saya sangat gembira dan ini mungkin salah satu rezeki saya selepas kahwin apabila dipanggil menyertai kem latihan pada saat akhir,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd