10 PATI ditangkap, 12 diusir cuba masuk secara haram

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR – Seramai 80 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada jumlah itu hanya seorang dikenakan reman manakala 79 lagi dikompaun atas pelbagai kesalahan dilakukan sepanjang operasi pematuhan semalam.

Antara kesalahan yang direkodkan ialah 26 kes gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan, 24 individu ditahan ketika menyertai aktiviti di pusat hiburan, 16 lagi tiada penjarakan fizikal, sembilan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran dan empat orang tidak memakai pelitup muka.

Dalam Operasi Benteng kawalan sempadan negara pula, pihak berkuasa telah menangkap 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas enam kenderaan darat serta sebuah bot atau kapal yang digunakan untuk menyeludup masuk kumpulan itu.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 48 bot atau kapal di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan dan berjaya mengusir 12 PATI melalui satu aktiviti pengusiran.

“Selain itu Op Benteng yang melibatkan polis, tentera, APMM dan AKSEM serta agensi keselamatan lain turut menjalankan 257 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri turut menjelaskan, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis telah melakukan sebanyak 68,389 pemeriksaan semalam.

Operasi itu bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

Semalam, seramai 3,528 Pasukan Pematuhan melibatkan 15,578 anggota telah melakukan pemantauan di 6,114 restoran, pasar raya (4,559), bank (3,164), penjaja (4,217), pasar awam/tani (139), kilang (2,020) dan pejabat kerajaan (960).

Turut dipantau ialah tempat ibadah (334), tempat riadah (18,080), terminal pengangkutan darat (3,644), terminal pengangkutan air (1,753) dan terminal pengangkutan udara (822). – MalaysiaGazette