Monterrey: Ketua jurulatih, Graham Arnold mencabar anak buahnya untuk ‘mengejutkan dunia’ selepas Iraq muncul pasukan ke-48 dan terakhir layak ke Piala Dunia.
Iraq mengesahkan tiket ke pentas Piala Dunia selepas mencatat kemenangan mendebarkan 2-1 ke atas Bolivia dalam aksi playoff antara benua di Mexico, awal pagi tadi.
Kejayaan itu menamatkan penantian 40 tahun Iraq untuk kembali beraksi di pentas tertinggi bola sepak dunia, dengan penampilan terakhir mereka sebelum ini pada edisi 1986.
Skuad berkenaan bakal bersaing dalam Kumpulan I bersama Perancis, Senegal dan Norway.
Gol hasil jaringan Ali Al-Hamadi dan Aymen Hussein memastikan kemenangan bersejarah buat Iraq.
Menurut Arnold, situasi konflik di Asia Barat memberi cabaran besar kepada persiapan pasukannya.
“Dengan apa yang berlaku di Timur Tengah ketika ini, ia menyukarkan pemain. Namun saya gembira dengan komitmen mereka dan bangga buat rakyat Iraq.
“Harap ini dapat membantu mengubah persepsi mengenai Iraq dan bola sepak di Iraq. Melakukan sesuatu di Piala Dunia yang tiada siapa jangkakan kami dapat melakukannya.
“Marilah kita mengejutkan dunia,” katanya.
Iraq mempamerkan aksi bertenaga apabila mendahului seawal minit kesembilan menerusi Al-Hamadi, sebelum Bolivia menyamakan kedudukan pada minit ke-38.
Bagaimanapun, jaringan Hussein pada babak kedua memastikan kemenangan berpihak kepada Iraq.
Bolivia terus mengasak untuk mencari gol penyamaan, namun benteng pertahanan Iraq kekal kental sehingga wisel penamat.
Arnold yang sebelum ini membawa Australia ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022 optimis pasukannya mampu mencipta kejutan.
“Kami ada dua bulan untuk membuat persiapan. Jika mampu lakukan sesuatu di Piala Dunia, ia pasti satu keajaiban,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




