Paris: Mikel Arteta dengan tegas menegaskan Arsenal adalah pasukan terbaik dalam Liga Juara-Juara Eropah (ULC) musim ini walaupun mereka tersingkir di peringkat separuh akhir menentang Paris Saint-Germain, awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Arteta tersingkir dengan agregat 1-3 selepas tewas 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Parc des Princes.
Kekalahan itu amat perit buat The Gunners yang mencipta banyak peluang di awal permainan, namun dinafikan beberapa aksi menyelamat cemerlang daripada Gianluigi Donnarumma.
Jaringan daripada Fabian Ruiz dan Achraf Hakimi meletakkan PSG di hadapan, dan walaupun Bukayo Saka berjaya merapatkan kedudukan, ia sudah terlambat untuk mencetuskan kebangkitan dramatik.
PSG akan bertemu Inter Milan di final, manakala Arsenal terus menanggung kekecewaan tanpa trofi selama lima tahun.
Arteta memberikan reaksi penuh semangat terhadap kekalahan itu, menyatakan Arsenal setaraf dengan PSG dan hanya kurang bernasib baik untuk tidak menewaskan juara Perancis itu.
“Jika anda lihat kedua-dua perlawanan, pemain terbaik mereka ialah penjaga gol. Dia adalah perbezaan utama dalam pertemuan ini,” kata Arteta.
“Saya sangat bangga dengan pemain. 100 peratus saya rasa tiada pasukan lebih baik daripada kami dalam kejohanan ini, daripada apa yang saya lihat. Tapi kami tetap tersingkir.
“Kami sangat hampir, jauh lebih dekat daripada apa yang ditunjukkan oleh keputusan, tapi malangnya kami tidak ke final.
“Selepas 20 minit, sepatutnya kami sudah mendahului 3-0. Kami sangat hampir, dan dalam tempoh panjang dalam kedua-dua perlawanan kami lebih baik daripada mereka. Tetapi kami tidak berada di final dan itu menyakitkan.”
Buat sekian kalinya musim ini, Arsenal terpaksa menanggung akibat kerana kekurangan penyudah tajam dan kesilapan pertahanan yang tidak kena pada masanya.
Malah Arteta turut mengakui pasukannya dihukum kerana kegagalan di kedua-dua kotak penalti.
“Jika kami mahu menjuarai kejohanan ini, kami perlu sedar akan hal itu. Ada perkara tertentu berpunca daripada kami sendiri. Jangan hanya terima hakikat kami tersingkir, itu bukan cara saya melihatnya,” katanya.
“Kejohanan ini bergantung kepada aksi di dalam kotak penalti dan dalam kedua-dua kotak itu adalah penyerang dan penjaga gol. Mereka memiliki yang terbaik dalam kedua-dua perlawanan.”
Setelah gagal dalam usaha menjuarai Liga Juara-Juara buat kali pertama, Arsenal kini masih menunggu trofi sulung mereka sejak Piala FA 2020.
Kecederaan pemain utama turut memainkan peranan besar dalam kegagalan mereka mencabar Liverpool dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Namun Arteta menegaskan aksi penuh semangat anak buahnya menentang PSG yang sebelum ini menyingkirkan Liverpool dan Aston Villa daripada Liga Juara-Juara musim ini, memberikan harapan untuk masa depan.
“Pemain layak diberi pujian atas apa yang mereka lakukan dalam konteks keadaan sekarang dan jumlah kecederaan yang dihadapi, mungkin keadaan paling buruk untuk datang ke sini sebagai satu pasukan,” katanya.
“Untuk datang ke sini dalam situasi seperti itu dan masih bermain seperti itu, ia memberi saya banyak perkara positif untuk masa hadapan, tetapi malam ini saya sangat kecewa.”
© New Straits Times Press (M) Bhd