Arteta mahu anak buah 'kejar' Liverpool

Arteta mahu anak buah 'kejar' Liverpool

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mahu anak buahnya mengejar pendahulu Liverpool dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Arsenal dijadual menentang Brentford awal pagi esok ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Liverpool.

Kelab Anfield itu menang 14 daripada 18 perlawanan liga mereka musim ini untuk muncul calon pilihan meraih kejuaraan dengan Arsenal turut dijangka berada dalam perebutan untuk memenanginya.

Ketika juara bertahan Manchester City berada dalam kegawatan, pasukan tangga ketiga The Gunners berharap untuk menggunakan kesempatan itu sesudah berakhir sebagai naib juara bagi dua musim terakhir.

Namun Arsenal dihukum kerana persembahan tidak konsisten yang menyebabkan mereka jauh ketinggalan berbanding tangga pertama, menyebabkan Arteta merayu pemainnya supaya bermain bermati-matian bagi aksi pertama mereka di tahun baharu.

“Kami perlu terus menjadi seperti tukul, berada di sana setiap hari dan jika seseorang menang semua perlawanan maka kami patut mengucapkan tahniah kepada mereka dan kemudian memikirkan mengenai musim depan,” kata warga Sepanyol itu.

“Tetapi jika mereka tidak dan dalam sejarah ia tidak pernah berlaku, maka kami akan berada di sana.”

Arsenal membida untuk memenangi kejuaraan pertama mereka sejak tahun 2004, namun turun tanpa Bukayo Saka bagi satu tempoh lanjutan selepas pemain sayap England itu diketepikan hingga selewat-lewatnya Mac ini kerana kecederaan hamstring.

Kecederaan itu menyaksikan Saka terlepas sekurang-kurangnya sembilan lagi aksi EPL selain perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Manchester United dan dua perlawanan timbal balik aksi separuh akhir Piala Liga bertemu Newcastle.

Ketiadaan Saka, ditambah kecederaan lutut dialami Raheem Sterling, memungkinkan Leandro Trossard beraksi di sayap kiri Arsenal, dengan Gabriel Martinelli beralih ke sebelah kanan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan pemain berusia 23 tahun itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top