saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas pemain beregu campuran negara, Tan Kian Meng menafikan dakwaan mengaitkannya dengan kekosongan jawatan jurulatih di Persatuan Badminton Malaysia (BAM), susulan badan induk itu sedang mencari pengganti ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto.
Kian Meng menjelaskan kehadirannya di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini bukan untuk sebarang urusan bersama BAM, sebaliknya mengiringi skuad England yang menjalani kem latihan selama sebulan sebagai persiapan menghadapi beberapa kejohanan di Asia termasuk Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India dari 17 hingga 23 Ogos ini.
Bekas pemain kebangsaan itu turut menegaskan dia masih mempunyai kontrak bersama England sehingga 2028.
“Tak ada kaitan dengan apa-apa yang berlaku dalam pasukan beregu campuran sekarang. Saya hanya bawa pasukan (England) ke sini. Saya masih ada kontrak sampai 2028,” katanya ketika ditemui di ABM, hari ini.
Kian Meng yang mula menyertai program kejurulatihan England berkata, fokusnya ketika ini adalah membantu pembangunan skuad negara itu dalam semua acara beregu.
Menurutnya, dia bertanggungjawab membimbing beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran, sekali gus memikul peranan yang lebih luas berbanding hanya mengendalikan satu disiplin.
“Di United Kingdom, jurulatih utama dengan ketua jurulatih berbeza. Ketua jurulatih urus semua disiplin, tetapi saya urus semua acara beregu,” katanya.
Dia menjelaskan, tugas sebagai jurulatih utama lebih tertumpu kepada pembangunan serta prestasi semua pasangan beregu, manakala ketua jurulatih bertanggungjawab menyelia keseluruhan program kebangsaan termasuk acara perseorangan.
Sebelum ini, Nova menamatkan kontraknya untuk kembali ke Indonesia, sekali gus menyaksikan BAM sedang mencari pengganti bagi mengemudi beregu campuran negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




