mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Imigresen FC II dan AAK UNISEL FC sah melengkapkan senarai 14 pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2026/2027 selepas disahkan memenuhi semua syarat penyertaan yang ditetapkan Amateur Football League (AFL).
Sebelum ini, kedua-dua pasukan berkenaan berada dalam senarai menunggu dan perlu melengkapkan beberapa kriteria serta dokumentasi sebelum diberikan lampu hijau untuk menyertai saingan musim baharu.
AFL dalam satu kenyataan memaklumkan proses semakan sudah selesai dan kedua-dua pasukan kini disahkan menyertai liga, sekali gus melengkapkan kuota 14 pasukan bagi musim 2026/2027.
Terdahulu, AFL mengesahkan 12 pasukan berjaya memperoleh slot secara automatik manakala empat pasukan diletakkan dalam senarai menunggu bagi merebut baki dua tempat yang masih kosong.
Saingan Liga A1 Semi Pro musim baharu dijadual membuka tirai pada 28 Ogos ini dengan aksi pembukaan menemukan Johor Darul Ta’zim II dan USM FC di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.
AAK UNISEL FC yang sebelum ini dikenali sebagai AAK Puncak Alam FC hadir ke Liga A1 Semi Pro selepas muncul separuh akhir Liga A2 Amateur 2025.
Sementara itu, Imigresen FC II kembali mengharungi saingan Liga A1 Semi Pro selepas menamatkan kempen musim lalu di tangga ke 10.
Pengesahan penyertaan kedua-dua pasukan itu dijangka menambah saingan lebih kompetitif dalam liga yang terus menjadi platform pembangunan pemain dan kelab di peringkat separa profesional.
AFL turut memaklumkan jadual penuh perlawanan Liga A1 Semi Pro 2026/2027 kini sudah dikeluarkan bagi membolehkan semua pasukan membuat persiapan menghadapi musim baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




