PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan aksi menentang Liverpool di Anfield pada Ahad sebagai peluang terbaik buat The Gunners menamatkan penantian panjang untuk meraih kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di stadium keramat The Reds itu.
Arsenal kali terakhir mencatat kemenangan liga di Anfield pada 2012 dan sejak itu gagal membawa pulang tiga mata dalam 13 kunjungan ke venue berkenaan.
Namun, rekod buruk tersebut tidak menggugat keyakinan Arteta yang percaya anak buahnya memiliki kemampuan untuk memecahkan kebuntuan berkenaan terutama selepas memulakan kempen musim ini dengan prestasi cemerlang.
The Gunners kini berada dalam momentum positif apabila mencatat lapan kemenangan daripada sembilan perlawanan awal liga manakala Liverpool pula hadir dengan rekod lima kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan di bawah kendalian Andoni Iraola.
Arteta menegaskan anak buahnya perlu turun dengan keyakinan penuh serta memiliki tujuan jelas untuk mencipta kemenangan sekali gus menamatkan penantian 14 tahun di gelanggang lawan itu.
“Ini satu peluang. Saya pernah datang ke sini dan beberapa tempat lain yang kami tidak menang selama 20, 22 atau 18 tahun, tetapi akhirnya kami berjaya melakukannya.
“Sudah 14 tahun kami tidak menang di sana, jadi sudah tiba masanya untuk melakukannya. Kami perlu pergi dengan keyakinan penuh, tujuan yang jelas dan keinginan untuk menyakiti mereka sebelum pulang dengan kemenangan,” katanya.
Dalam pada itu, Arteta turut menyifatkan pertemuan menentang Iraola sebagai sesuatu yang istimewa memandangkan kedua-duanya pernah menjadi rakan sepasukan ketika usia muda.
Beliau menganggap satu penghormatan apabila berpeluang berdepan rakan lamanya itu dalam pertembungan membabitkan dua kelab besar England dan Eropah.
Arteta turut menjangkakan aksi berintensiti tinggi memandangkan kedua-dua pasukan memiliki pendekatan permainan agresif khususnya menerusi tekanan tinggi yang mampu menyukarkan lawan membina serangan.
Mengulas ancaman penyerang Liverpool, Alexander Isak, Arteta menegaskan barisan pertahanannya perlu memastikan pemain itu dijauhkan daripada kawasan berbahaya, terutama ketika memiliki ruang untuk melakukan larian ke arah gawang.
Beliau percaya keupayaan Arsenal melepasi tekanan agresif Liverpool bakal menjadi antara faktor penting dalam menentukan keputusan perlawanan yang boleh memberi kesan besar terhadap perjalanan kedua-dua pasukan musim ini.



