Arthur tarik balik kenyataan tiada peruntukan kerajaan negeri tahun ini

Arthur tarik balik kenyataan tiada peruntukan kerajaan negeri tahun ini
Arthur tarik balik kenyataan tiada peruntukan kerajaan negeri tahun ini

Arthur

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH), Arthur Chiong Sen Sern bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu menarik balik kenyataan beliau yang mendakwa tiada peruntukan daripada kerajaan negeri pada tahun ini.

Penyandang kerusi DUN Bukit Batu itu mengakui melakukan kesilapan ketika membuat kenyataan itu dalam Program Pelancaran Jentera DUN Bukit Batu di Taman Putri di sini malam Sabtu.

“Saya dengan ini ingin membetulkan kesilapan saya dan menarik balik kenyataan berikut yang telah saya buat berhubung isu peruntukan kerajaan negeri bagi tahun ini.

“Selepas membuat semakan lanjut, saya mendapati kenyataan bahawa ‘tiada peruntukan daripada kerajaan negeri untuk tahun ini’ adalah tidak tepat.

“Sehubungan itu, saya dengan rendah hati memohon maaf kepada semua pihak atas kekeliruan yang timbul akibat kenyataan tersebut. Saya juga menarik balik kenyataan berkenaan dan mengakui kesilapan yang berlaku adalah tidak disengajakan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Penyelaras Parti Keadilan Rakyat (PKR) DUN Bukit Batu itu turut menyesali kesulitan yang timbul dan menghargai teguran serta kefahaman semua pihak.

Malam tadi, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Arthur sebagai calon gabungan itu bagi mempertahankan kerusi DUN Bukit Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Pada PRN Johor 2022, Arthur mewakili PH-PKR memenangi kerusi DUN Bukit Batu dengan memperoleh 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru membabitkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Warisan.

 

 

Scroll to Top