Anggota bomba tempuh 15 jam selamatkan pendaki cedera di Bukit Fraser

Anggota bomba tempuh 15 jam selamatkan pendaki cedera di Bukit Fraser

am@hmetro.com.my

Raub: Anggota bomba terpaksa mengharungi bentuk muka bumi yang mencabar dalam satu operasi menyelamat selama 15 jam untuk membawa keluar seorang pendaki wanita yang mengalami kecederaan kaki ketika mendaki ke Twin Peak di Bukit Fraser, semalam.

Pasukan dianggotai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub dengan dipandu arah oleh seorang malim gunung itu mengambil masa hampir tiga jam berjalan kaki sejauh kira-kira 2.7 kilometer (km) untuk mengesan mangsa yang berusia 43 tahun itu, lewat petang semalam.

Mangsa bersama pasukan penyelamat tiba di kaki bukit pada jam 7 pagi tadi, sebelum dibawa ke Hospital Raub menggunakan ambulans.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.15 tengah hari semalam.

“Anggota bomba tiba di pintu masuk laluan pendakian (trailhead) yang terletak kira-kira 46km dari balai, pada jam 1.40 tengah hari. Mangsa ditemui pada jarak 2.7km dari pintu masuk tersebut, di mana perjalanan sehala mengambil masa sekitar tiga jam.

“Sebaik sahaja menemui mangsa, anggota penyelamat memasang simen (tuapan) pada kaki mangsa yang cedera sebelum bawa turun menggunakan pengusung. Di beberapa laluan yang curam, anggota bomba terpaksa mendukung mangsa di atas belakang mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Salahuddin berkata, bahawa perjalanan pulang terpaksa dilakukan dengan sangat perlahan berikutan faktor muka bumi yang ekstrim, laluan yang curam, serta pokok tumbang.

Pasukan penyelamat juga hanya bergantung sepenuhnya kepada lampu suluh untuk mengemudi laluan hutan yang gelap selepas malam melabuhkan tirai.

Beliau menambah, maklumat awal mendapati mangsa merupakan sebahagian daripada kumpulan pendaki yang dianggotai oleh 21 peserta dan tiga malim gunung. Ahli kumpulan yang lain telah selamat kembali ke kaki bukit terlebih dahulu.

Menurut Salahuddin, mangsa dipercayai mengalami patah tulang kaki kanan ketika mendaki di antara kawasan Hobbit Cave dan laluan Pine Tree Hill dalam perjalanan menuju ke Twin Peak, setinggi 1,505 meter dari aras laut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top