Artis K-pop Kim Bo-kyung disahkan meninggal dunia

Petaling Jaya: Dunia hiburan K-pop sekali lagi dikejutkan dengan berita kematian artis apabila aktres Kim Bo-kyung dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya pada 1 Februari lalu.

Memetik laporan Hankook Ilbo, Bo-kyung disahkan meninggal dunia pada usia 44 tahun selepas berjuang melawan barah hati yang dihidapinya selama 11 tahun.

Jenazah mendiang bagaimanapun selamat dikebumikan di tempat kelahirannya, Busan semalam.

Bo-kyung yang memulakan debut dalam dunia lakonan pada 1998 merupakan graduan dari Institut Seni Seoul.

Awal pembabitannya dalam dunia seni, dia terlebih dahulu muncul di layar perak menerusi filem Naked Being sebelum beberapa tahun kemudian mula membuat kemunculan perdana dalam televisyen menerusi drama School pada 2001.

Namanya kemudian semakin dikenali selepas membintangi deretan filem antaranya The Epitaph (2007), drama Behind The White Tower dan The Day He Arrives (2011).

Malah mendiang juga pernah muncul dalam drama Blood yang dibintangi aktor Ahn Jae-hyun dan Goo Hye-sun pada 2015.

Sumber: K! ONLINE