H: Artis lelaki terus buat hal, keluarga wanita mohon bantuan
Wartawan HM
am@hmetro.com.my
Gambar (foto hiasan shadow hitam)
Kuala Lumpur: “Kami terpaksa minta bantuan media supaya adik saya tidak dikawal dan dipengaruhi oleh artis terbabit,” kata seorang individu apabila menceritakan masalah yang dihadapi adik perempuannya.
Dia yang mendakwa abang kepada wanita terbabit berkata, keluarganya sudah cuba menghentikan hubungan ‘terlarang’ mereka yang tular sejak tahun lalu, namun penyanyi lelaki itu masih mengganggu adiknya.
“Kedua ibu bapa kami didesak untuk menerima hubungan ini dan mereka ingin berkahwin. Pihak kami juga sudah membuat aduan kepada majikan artis itu tapi tidak mendapat kerjasama sewajarnya.
“Adik perempuan saya seolah-olah menjadi orang gila sehingga sanggup menentang dan membuang keluarga hanya untuk menjalinkan hubungan dengan artis lelaki itu.
“Kami tidak mahu menerima kerana artis itu pernah berjanji untuk tidak menjalinkan apa-apa hubungan, namun dia sentiasa menghubungi bahkan pernah keluar berdua,” katanya.
Dia juga kecewa kerana keluarganya sudah menghubungi artis itu, tetapi dia tetap meneruskan perhubungan berkenaan.
“Pihak kami tidak mahu perkara ini masih terjadi dan berharap artis terbabit dapat perjelaskan semuanya,” katanya yang turut menyertakan gambar ‘mesra’ adiknya dengan artis lelaki itu sebagai bukti.
Terdahulu pada April tahun lalu, Harian Metro melaporkan seorang artis lelaki terkenal yang mempunyai latar pendidikan tinggi didakwa berlaku curang terhadap isterinya apabila keluar berdua-duaan dengan wanita lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




