mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bintang import Marcos Guilherme kembali mencuri perhatian di pentas Asia apabila tercalon bagi merebut anugerah Pemain Terbaik Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2025/26.
Senarai calon anugerah berprestij itu diumumkan Konfederasi Bola Sepak Asia menerusi laman sesawang rasmi mereka sekali gus meletakkan tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sebaris dengan beberapa nama besar Asia.
Walaupun baru menyertai Harimau Selatan pada Januari lalu, Guilherme pantas membuktikan kualitinya apabila menjadi antara watak penting kejayaan JDT mara sehingga suku akhir ACLE.
Pemain kelahiran Brazil itu meledak tiga gol sepanjang kempen Asia sekali gus membantu JDT mencipta sejarah sebagai kelab Malaysia pertama layak ke suku akhir kejohanan elit berkenaan.
Malah, Guilherme turut melakar sejarah tersendiri apabila muncul pemain pertama JDT yang menjaringkan gol di peringkat suku akhir ACLE ketika menentang juara bertahan, Al-Ahli.
Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu dijangka berdepan saingan sengit daripada beberapa bintang ternama Asia untuk merebut anugerah berkenaan.
Turut tercalon ialah duo Al-Ahli, Galeno dan Franck Kessie selain penjaga gol Buriram United, Neil Etheridge.
Bekas pemain Newcastle United, Yoshinori Muto turut berada dalam senarai akhir bersama wakil Machida Zelvia dan Al-Sadd.
Machida Zelvia mempertaruhkan Rafa Mujica dan Yuki Soma manakala Al-Sadd diwakili Akram Afif serta Kosei Tani.
Seorang lagi calon ialah pemain Shabab Al-Ahli, Guilherme Bala. Penyokong tempatan masih berpeluang mengundi Guilherme bagi membantu pemain itu meraih pengiktirafan berprestij berkenaan menerusi laman rasmi AFC dengan undian dibuka sehingga 10 Mei ini jam 5 petang.
Sebelum ini, seorang lagi tonggak JDT, Ager Aketxe turut tercalon dalam perebutan anugerah Gol Terbaik ACLE musim 2025/26.
© New Straits Times Press (M) Bhd




