KUALA LUMPUR: Situasi semasa COVID-19 di Malaysia yang membimbangkan secara tidak langsung memaksa ketua jurulatih skuad hoki senior negara, Arul Selvaraj menilai semula tempoh rehat kem latihan kebangsaan sempena sambutan Aidilfitri.
Menurut Arul, mengikut perancangan asal, beliau mahu memberikan satu tempoh rehat sedikit panjang kepada pemainnya namun disebabkan peningkatan kes COVID-19 sehingga beberapa tempat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia terpaksa berbuat demikian.
“Kami akan berehat bermula 11 haribulan ini (Mei). Sepatutnya saya memberikan mereka masa lebih untuk bersama keluarga tetapi berdasarkan COVID-19 ketika ini, mungkin kita kena merancang semula program.
“Tidak ada gunanya sekiranya berehat lama kerana tak boleh balik kampung. Jadi kita perlu merancang semula, bilakah masa sesuai untuk mereka kembali ke kem,” katanya.
Rabu lalu, pasukan senior mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad projek khas lelaki kebangsaan dikendali Wallace Tan dan bagi Arul, ada perkembangan yang baik dalam pasukannya.
“Daripada segi struktur, ia semakin baik. Daripada pembinaan pergerakan pun semakin kuat dan baik. Begitu juga dengan kedudukan posisi pemain, semakin baik.
“Pada babak kedua, kami hanya melakukan satu perubahan, untuk menyesuaikan diri. Fokus kita adalah menerapkan konsep yang betul, kedudukan posisi yang betul.
“Selepas ini, kita akan memasuki fasa seterusnya iaitu di kawasan bulatan. Memang kita ada pemain berpengalaman tetapi saya belum memasuki bahagian itu lagi. Fasa seterusnya, kita perlu berusaha dengan kedudukan pemain dalam kawasan D dan juga mengambil peluang dalam bulatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




