Arwah Jalil Hamid ada jati diri kental – Ahmad Tarmimi

Arwah Jalil Hamid ada jati diri kental – Ahmad Tarmimi

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Shah Alam : “Dia lembut, tak menengking macam saya, tapi prinsipnya jauh lebih keras dan teguh.”

Begitulah cara pelakon veteran, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar menggambarkan keperibadian sahabat karibnya, Allahyarham Jalil Hamid yang dikenang sebagai seorang seniman yang mempunyai jati diri yang sangat kental.

Walaupun perwatakan arwah kelihatan tenang, Ahmad Tarmimi mengakui bahawa arwah tidak akan sesekali berkompromi dalam soal integriti dan maruah sepanjang bergelar anak seni.

Ahmad Tarmimi mendedahkan bahawa mereka berdua pernah ditawarkan peluang berlakon oleh sebuah produksi dari Indonesia, namun kesepakatan diambil untuk menolak tawaran itu kerana dirasakan tidak menghargai nilai profesionalisme mereka.

“Saya dengan dia terima tawaran daripada Indonesia, tapi kami tidak ‘close deal’ pasal harga diri. Dia pun ada satu produksi tak buat dan saya pun belum ada rezeki, tapi tak apa sebab kita menghormati pengalaman. Harga diri tetap harga diri,” katanya kepada Harian Metro. .

Menurut Ahmad Tarmimi, sikap tegas Jalil dalam mempertahankan harga diri sering kali membuatkan individu yang tidak mengenali rapat arwah berasa segan untuk mendekatinya. Dia menyifatkan arwah sebagai seorang yang sangat konsisten dengan pendiriannya sehingga ke akhir hayat.

“Jalil adalah seorang yang ringkas, tetapi dia punya prinsip tinggi sebenarnya. Orang yang tak boleh nak dekat, dia tak tahu, tetapi Jalil ialah Jalil. Kadang-kadang kita ada lembut lagi, tapi dia walaupun lembut, tak menengking-nengking macam saya, tapi dia lagi keras sebenarnya. Prinsip dia lagi kuat,” katanya.

Ketegasan itu lazimnya muncul apabila membabitkan tawaran kerja yang tidak setimpal dengan kualiti dan jasa yang diberikan oleh pelakon berstatus veteran.

Ahmad Tarmimi menjelaskan bahawa Allahyarham tidak ragu-ragu untuk berkata ‘tidak’ sekiranya merasakan khidmatnya tidak dihargai dengan sewajarnya.

“Kalau ada seperti tidak menghargai, dia sering mengeluh dalam tawaran-tawaran yang kurang padan. Dia tegas, dia kata ‘tidak’, maksudnya tidaklah. Kadang-kadang kami ini pelakon bukan di peringkat ini mencari duit semata-mata, tapi nak bantu kawan.

“Tetapi kalau yang jenis berprinsip itu, dia nak bantu kawan pun kawan juga, tapi janganlah kita seperti begitu dibuat,” katanya.

Walaupun pemergian Allahyarham pada usia 69 tahun dalam tidur adalah sesuatu yang mengejutkan, Ahmad Tarmimi melihatnya sebagai satu pengakhiran yang sangat tenang dan tidak menyusahkan sesiapa.

Allahyarham Jalil dilaporkan meninggal dunia dalam tidur pada tengah hari tadi sekitar jam 12.30 tengah hari di kediamannya di Taman Alam Megah, di sini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.

Berita pemergian itu dimaklumkan anak kelimanya, Afiqah Jalil, 33, menerusi hantaran di Instagram. Jalil meninggalkan seorang balu, Hayati Sariat, 62, dan enam cahaya mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top