nfazlina@nstp.com.my
Pasir Mas: “Saya sangat sedih mengenangkan arwah kerana dia dijangka menimang cahaya mata sulung bulan depan iaitu pada hari kelahirannya. Namun dia pergi buat selama-lamanya meninggalkan isteri yang sarat mengandung.”
Demikian kata Zaiton Abdul Rahman, 64, ibu kepada Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang maut ditembak di Golok, Thailand, malam tadi.
Lebih menyedihkan, anak keempat daripada enam beradik itu baru pulang ke rumahnya di sini pada Khamis sebelum kembali ke Golok jam 3 petang semalam.
“Rutin arwah setiap kali mahu kembali ke Golok, dia akan peluk cium saya dan suami. Selepas enam jam anak kembali ke Thailand dalam keadaan sihat, siapa sangka saya menerima panggilan anak meninggal dunia ditembak.
“Malah hasrat arwah Fuad untuk melihat anak sulung bulan depan juga tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Pesara guru itu berkata, anaknya berkahwin dengan Wan Fatihah Mat Husin, 35, dari Rantau Panjang dua tahun lalu.
“Selepas berkahwin anak ulang-alik tinggal di Pasir Mas dan Golok memandangkan besan saya tinggal di Golok, jadi anak saya tinggal di sana sambil berniaga beg dan batu permata dalam talian.
“Boleh dikatakan sekurang-kurangnya dua kali seminggu arwah akan pulang ke rumah memandangkan suami saya sedang sakit dan terlantar.
“Menantu juga menjalani pemeriksaan kandungan di sini dan sepatutnya Selasa ini dia akan pulang semula kerana menantu perlu berjumpa doktor pakar.
“Saya tidak sangka pelukan kami semalam adalah yang terakhir. Tiada tanda pelik ditunjukkan arwah dan kami berborak seperti biasa sambil memaklumkan akan pulang semula pada esok. Apa yang berlaku memang sedih namun reda dengan ketentuan Allah,” katanya.
Katanya, jenazah dijangka dibawa pulang selepas Zohor dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Lubuk Surau di sini.
“Anak saya sejak kecil seorang yang berani dan tegas namun tidak menyangka hayatnya berakhir dengan begini,” katanya.
Berita berkaitan
• ‘Anak saya tak berhutang, pembunuh itu yang tipu duit menantu saya’ – Ibu mangsa tembak di Golok
• [TERKINI] Rakyat Malaysia ditembak di Golok meninggal dunia, parah terkena lapan das tembakan
• Rakyat Malaysia parah ditembak di Golok, Thailand
© New Straits Times Press (M) Bhd




