
Amerika Syarikat menyambung semula operasi kedutaannya di Caracas, menandakan lembaran baharu hubungan diplomatik dengan Venezuela ketika Presiden Maduro ditahan di AS. – Foto: Agensi
WASHINGTON – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengumumkan penyambungan semula operasi di kedutaannya di Caracas, menyifatkannya sebagai “lembaran baharu” dalam hubungan diplomatik dengan Venezuela, lapor Anadolu Ajansi.
“Hari ini, kami secara rasmi menyambung semula operasi di Kedutaan AS di Caracas, menandakan episod baharu dalam kehadiran diplomatik kami di Venezuela,” menurut jabatan itu dalam kenyataan.
Duta Besar Laura F Dogu tiba di Caracas pada Januari bagi mengetuai usaha di lapangan dengan pasukan bekerja memulihkan kawasan kedutaan dan membuat persiapan untuk semua kakitangan kembali dan akhirnya menyambung semula perkhidmatan konsular, menurut kenyataan itu.
Kedutaan AS di Caracas ditutup pada Mac 2019 selepas pentadbiran Donald Trump mengiktiraf ketua pembangkang Juan Guaido sebagai presiden sementara Venezuela, menolak pemilihan semula Nicolas Maduro pada 2018 sebagai tidak sah.
Sejak itu, misi di negara jiran Colombia telah mengendalikan tanggungjawab diplomatik AS.
Pembukaan semula operasi itu berlaku ketika Maduro dalam tahanan AS susulan penculikannya ketika serbuan tentera AS di Caracas awal Januari.
Seorang hakim persekutuan minggu lepas menolak untuk menggugurkan tuduhan keganasan narkotik (narcoterrorism) dan pengedaran dadah terhadap Maduro dan isterinya, Cilia Flores.
Kedua-duanya masih ditahan di New York selepas mengaku tidak bersalah, tanpa tarikh perbicaraan ditetapkan. – Bernama
Ringkasan AI
- Jabatan Negara AS umum operasi di Caracas disambung semula.
- Duta Besar Laura F. Dogu mengetuai pemulihan kedutaan.
- Kedutaan ditutup pada 2019 selepas AS iktiraf Juan Guaido.
- Tanggungjawab diplomatik diambil alih oleh misi di Colombia.
- Maduro dalam tahanan AS, tuduhan narkotik terhadapnya tidak digugurkan.



