AS gesa Israel dan Palestin redakan ketegangan

AS gesa Israel dan Palestin redakan ketegangan

BAITULMUQADDIS: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menggesa rakyat Israel dan Palestin meredakan ketegangan selain mengulangi komitmen Washington yang mahukan jaminan keselamatan kedua-dua pihak.

Blinken menegaskan demikian dalam lawatannya ketika menjelajah Asia Barat sejak Isnin lalu dan tiba di Israel selepas membuat lawatan ke Mesir.

Ini merupakan pertemuan pertamanya dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sejak Netanyahu kembali memegang jawatan pada Disember 2022.

Di lapangan terbang sejurus ketibaannya, Blinken mengutuk serangan maut baru-baru ini antara Israel dan Palestin.

“Untuk mengambil nyawa yang tidak bersalah dalam tindakan keganasan sentiasa menjadi jenayah yang kejam,” katanya.

Blinken menambah, gesaan Israel untuk membalas dendam terhadap lebih ramai mangsa yang tidak bersalah bukan satu pilihan yang tepat kerana tindakan ganas membalas dendam terhadap orang awam adalah tidak pernah wajar.

Beliau menggesa semua pihak mengambil langkah segera untuk memulihkan ketenangan dan meredakan ketegangan.

“Kami mahu memastikan bahawa ada persekitaran selamat untuk Israel dan Palestin, yang pada waktu ini sudah tentu sangat kurang,” katanya.

Lawatan beliau bertepatan dengan keganasan antara Israel dan Palestin.

Sejak awal tahun ini, sekurang-kurangnya 35 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel, menurut angka rasmi Palestin.