New York: Amerika Syarikat (AS) dijangka menggugurkan pertuduhan jenayah penipuan terhadap bilionair India, Gautam Adani selepas beliau bersetuju membayar AS$18 juta (kira-kira RM 71.09 juta) bagi menyelesaikan saman sivil penipuan dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC).
Memetik Independent, Adani, 63, adalah pengerusi Kumpulan Adani yang mempunyai kepentingan dalam sektor tenaga, pelabuhan, lapangan terbang dan infrastruktur serta memiliki anggaran kekayaan AS$82 bilion (kira-kira RM 323.86 bilion) menurut Forbes.
Beliau dan anak saudaranya, Sagar Adani, bersetuju dengan penyelesaian itu yang tertakluk kepada kelulusan mahkamah dan tidak merangkumi sebarang pengakuan atau penafian terhadap dakwaan terbabit.
The New York Times melaporkan, Jabatan Kehakiman AS sedang bersedia menggugurkan pertuduhan jenayah penipuan terhadap Adani, Sagar Adani dan bekas ketua pegawai eksekutif Adani Green Energy, Vneet Jaain.
Mereka sebelum ini didakwa atas penipuan sekuriti, konspirasi dan penipuan wayar.
Perubahan itu berlaku selepas Adani melantik pasukan guaman baharu diketuai Robert J Giuffra Jr yang juga salah seorang peguam peribadi Presiden AS, Donald Trump.
Difahamkan, SEC menuduh keluarga Adani pada 2024 membayar kira-kira AS$265 juta (kira-kira RM 1.05 bilion) rasuah kepada pegawai kerajaan India bagi mendapatkan kontrak tenaga solar yang mampu menjana hampir AS$2 bilion (kira-kira RM 7.90 bilion) keuntungan dalam tempoh 20 tahun.
SEC turut mendakwa syarikat itu mengelirukan pelabur AS mengenai amalan anti-rasuah ketika tawaran bon yang mengumpul AS$750 juta (kira-kira RM 2.96 bilion) termasuk kira-kira AS$175 juta (kira-kira RM 691.16 juta) daripada pelabur AS.
Menurut media tempatan, Giuffra bertemu pegawai Jabatan Kehakiman di Washington bulan lalu dan membentangkan kira-kira 100 slaid yang mendakwa pihak pendakwa tidak mempunyai bukti mencukupi serta bidang kuasa untuk membawa kes itu.
Mesyuarat itu turut merangkumi tawaran bahawa Adani akan melabur AS$10 bilion (kira-kira RM 39.50 bilion) dalam ekonomi AS dan mewujudkan 15,000 pekerjaan jika pertuduhan digugurkan.
Walaupun pihak pendakwa berkata, cadangan pelaburan itu tidak akan memainkan sebarang peranan dalam prosiding, sumber memberitahu The Times bahawa tawaran itu menerima ‘maklum balas yang baik’ daripada pegawai Jabatan Kehakiman.
Susulan itu, saham Kumpulan Adani meningkat pada Jumaat.
Pendakwaan jenayah pada November 2024 menuduh Adani dan sekutunya mengatur skim rasuah bagi mendapatkan kontrak projek tenaga boleh diperbaharui terbesar India tanpa mendedahkan dakwaan itu kepada pelabur antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




