WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengecam tindakan yang disifatkannya sebagai ‘berbahaya dan agresif’ oleh China, selepas anggota negara itu didakwa mencederakan seorang anggota tentera laut Filipina di sebuah beting yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott dalam satu kenyataan berkata, corak provokasi membimbangkan oleh China terhadap operasi maritim Filipina yang sah telah menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau serta bercanggah secara langsung dengan komitmen berulang Beijing untuk menyelesaikan pertikaian secara aman.
“AS mengecam tindakan China yang berbahaya dan agresif terhadap anggota tentera laut Filipina di Beting Second Thomas di Laut China Selatan pada 20 Julai 2026, serta menggesa China supaya segera menghentikan tindakan yang menggugat kestabilan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika Setiausaha Negara AS, Marco Rubio tiba di Manila pada Selasa bagi menghadiri mesyuarat menteri luar ASEAN.
Sebelum berlepas, Rubio berkata, beliau terbuka terhadap kemungkinan mengadakan pertemuan di luar agenda rasmi dengan diplomat tertinggi China, Wang Yi.
Tentera Filipina sebelum ini menuduh Pengawal Pantai China memukul seorang anggota tentera laut Filipina menggunakan baton ketika mereka menghampiri sebuah kapal yang telah lama dijadikan pangkalan tentera Filipina di perairan yang menjadi pertikaian.
Dalam satu kenyataan, Filipina berkata, sebuah bot China yang membawa lapan individu mengelilingi dan merakam gambar BRP Sierra Madre, sebuah kapal perang Filipina yang sengaja ditempatkan di Beting Second Thomas, kawasan tumpuan konflik di kepulauan Spratly.
Menurut kenyataan itu, pertembungan berlaku selepas dua bot getah dihantar untuk menghalau kumpulan warga China berkenaan.
China menuntut hampir keseluruhan kawasan perairan strategik itu walaupun satu keputusan timbang tara antarabangsa mendapati tuntutan Beijing tidak mempunyai asas undang-undang.
China juga kerap terlibat dalam pertikaian dengan kapal-kapal Filipina di kawasan berkenaan.-AFP




