AS senarai 5 syarikat China ancam keselamatan negara

AS senarai 5 syarikat China ancam keselamatan negara

NEW YORK: Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) Amerika Syarikat (AS) semalam menyenaraikan lima syarikat China sebagai ancaman terhadap keselamatan negara.

Syarikat itu termasuk Huawei Technologies Co (Huawei), ZTE Corp (ZTE), Hytera Communications Corp (Hytera), Hangzhou Hikvision Digital Technology Co (Hikvision) dan Dahua Technology Co (Dahua).

Peraturan yang dibuat berdasarkan undang-undang digubal pada 2019 itu bertujuan melindungi rangkaian komunikasi AS daripada risiko tidak diingini terhadap keselamatan negara itu.

Ia menghendaki FCC mengenal pasti syarikat yang menghasilkan peralatan dan perkhidmatan telekomunikasi berisiko mewujudkan ancaman itu.

Pemangku Pengerusi FCC, Jessica Rosenworcel, dalam satu kenyataan berkata senarai itu memberi panduan bermakna dalam pembangunan rangkaian generasi telekomunikasi akan datang di seluruh negara.

“Syarikat terbabit dalam pembangunan telekomunikasi tidak akan mengulangi kesilapan menggunakan peralatan atau perkhidmatan yang menimbulkan ancaman kepada keselamatan AS atau rakyatnya.

“Undang-undang 2019 ini berteraskan kriteria rang undang-undang kebenaran pertahanan terdahulu yang mengenal pasti lima syarikat China berkenaan.

“Pada Ogos 2020, kerajaan AS mengeluarkan peraturan melarang agensi membeli barang atau perkhidmatan daripada mana-mana lima syarikat China ini,” katanya.

Pada 2019, AS menyenarai hitam Huawei, Hikvision dan beberapa syarikat lain.

Tahun lalu, FCC menakrifkan Huawei dan ZTE sebagai ancaman keselamatan nasional terhadap rangkaian komunikasi AS.

Susulan itu, AS mengeluarkan deklarasi melarang syarikat tempatan memanfaatkan dana kerajaan AS$8.3 bilion (RM34.1 bilion) untuk membeli peralatan daripada mana-mana syarikat berkenaan.

Pada Februari lalu, Huawei mencabar ketetapan itu menerusi petisyen yang difailkan di Mahkamah Rayuan AS.

Bagaimanapun, Huawei enggan mengulas mengenai penetapan FCC yang baru manakala empat lagi syarikat tidak memberi komen atau tidak dapat dihubungi.

FCC pada Disember lalu memuktamadkan peraturan mewajibkan syarikat penerbangan dengan peralatan ZTE atau Huawei menggantikan peralatan berkenaan.

Ia membuat program penggantian untuk usaha itu dan penggubal undang-undang AS pada Disember lalu meluluskan AS$1.9 bilion (RM7.82 bilion) untuk membiaya program itu. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top