AS serahkan pangkalannnya di Qatar diserang peluru berpandu balistik Iran

AS serahkan pangkalannnya di Qatar diserang peluru berpandu balistik Iran

Washington: Pangkalan udara utama milik Amerika Syarikat (AS) di Qatar disahkan menjadi sasaran serangan peluru berpandu dari Iran, susulan ketegangan memuncak selepas serangan udara AS ke atas tiga fasiliti nuklear utama Iran hujung minggu lalu.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, Jabatan Pertahanan AS dalam satu kenyataan memaklumkan, peluru berpandu jarak dekat dan sederhana yang dilancarkan dari Iran menghala tepat ke Pangkalan Udara Al Udeid, semalam.

“Saya sahkan, Pangkalan Udara Al Udeid diserang menggunakan peluru berpandu balistik jarak dekat dan sederhana dari Iran hari ini.

“Setakat ini, tiada laporan kemalangan jiwa membabitkan anggota AS.

“Kita sedang memantau rapi situasi ini dan maklumat lanjut akan dikongsi,” katanya.

Pangkalan Al Udeid adalah fasiliti ketenteraan AS terbesar di Timur Tengah dan menjadi ibu pejabat serantau bagi Pusat Pemerintahan Tentera AS (CENTCOM).

Serangan balas dari Iran itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap serangan udara AS yang dilancarkan awal pagi Ahad lalu atas arahan Presiden Donald Trump, membabitkan beberapa tapak nuklear penting negara itu.

Semalam, Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Abdolrahim Mousavi menegaskan, serangan AS terhadap kemudahan nuklear negaranya tidak akan dibiarkan tanpa balasan.

Sementara itu, Trump pula memberi amaran, sebarang tindakan balas daripada Iran akan dibalas dengan kekuatan yang jauh lebih hebat daripada apa yang disaksikan pada hujung minggu lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top